Amarah pada Azmin meluap di ceramah besar Pakatan di ibu negara


Jahabar Sadiq

Kemunculan Anwar Ibrahim, nama yang disebut-sebut calon perdana menteri jika PH menang PRU15, dinanti penyokongnya di Gombak pada program ceramah di Keramat AU2 malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

HUJAN tiada tanda akan surut, seperti juga amarah yang ditunjukkan pada Azmin Ali di ceramah mega Pakatan Harapan (PH) di ibu negara pada malam tadi.

Kehadiran ramai itu menggambarkan sokongan besar ke atas pemimpin gabungan itu sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya pada hari membuang undi Sabtu ini.

Selain itu, ceramah tersebut peluang terakhir untuk warga kota memerhati dan mendengar pemimpin PH berucap di Lembah Klang sebelum hari mengundi.

Lebih 2,000 orang memenuhi ruang dewan serba guna di Keramat AU2 kerana padang di sebelahnya sudah kotor disebabkan ceramah Azmin dan Perikatan Nasional (PN) pada Isnin malam.

Inilah medan perang sebenar PH – kerusi Parlimen Gombak yang dimenangi Azmin untuk parti Anwar, PKR sejak pilihan raya umum 2008.

Beliau kemudian dipecat kerana peranannya dalam Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 2020.

Kebanyakan ucapan menghambur kemarahan ke atas Azmin dan menggesa beliau dihalau keluar dari Gombak dan riwayat politiknya ditamatkan.

Serangan itu bermula dengan ucapan Presiden Amanah Mohamad Sabu dan berakhir dengan Anwar yang muncul ke pentas kira-kira jam 11.30 malam untuk menyampaikan kempennya.

Turut berucap calon PH untuk kerusi Gombak, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang berkata usaha mengangkat Azmin selama ini dikhianati pada 2020.

Beliau berjanji untuk tidak mengkhianati rakyat dan kepercayaan parti, selain berikrar mengangkat isu pendidikan ke Dewan Rakyat apabila PH menguasai kerajaan bawah Anwar.

Tarikan utama tentunya Anwar. Dalam ucapan di pentas itu, para pemimpin PH menceritakan bagaimana Anwar akan dijemput pasukan polis dengan kereta khas untuk menghadap Agong.

Anwar akan dilantik menjadi perdana menteri apabila PH menang pada 19 November, kata mereka.

Anwar pula tidak menyebut perkara itu. Sebaliknya dalam ucapan 30 minit itu menyebut mengenai BN yang semakin lemah, PN yang bermusuh dan Azmin yang digelarnya Si Kitol.

Rumusan daripada ceramah yang amat besar berbanding ceramah PN beberapa hari lalu ini mudah.

PH suka melihat pengakhiran Azmin dan bersemangat untuk merampas majoriti dari 222 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen