Bagaimana kualiti ahli Parlimen boleh ditingkatkan?


Fakhrurrazi Rashid

PERBAHASAN Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 pada 29 November lalu mendapat perhatian media kerana terdapat ahli Parlimen yang kecewa dengan pengguguran Generasi Penamat Rokok (GEG) dalam RUU tersebut.

Fasal GEG antara cadangan yang diletakkan dalam RUU ini bagi mengatasi masalah penjualan rokok dan vape kepada belia yang lahir pada tahun 2007 dan ke atas.

Peguam Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh menyatakan GEG ini digugurkan daripada RUU tersebut kerana bercanggah dengan Perkara 8, Perlembagaan Persekutuan yang mewujudkan layanan undang-undang tidak sekata antara individu yang lahir sebelum dan selepas 1 Januari 2007.

Perdebatan timbul apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mempersoalkan hujah Peguam Negara berkaitan faktor fasal GEG digugurkan.

Hassan Karim menegaskan perbezaan pendapat tentang GEG harus dibahaskan ahli Parlimen sebagai penggubal undang-undang, bukan kapasiti Peguam Negara membuat tafsiran kendiri.

Hassan Karim turut menyatakan tindakan kerajaan menarik fasal GEG sebelum dibahas ahli Parlimen adalah satu pendirian yang tidak mengangkat kepentingan parlimen sebagai institusi tertinggi dalam merangka undang-undang.

Lebih mengecewakan lagi apabila ahli Parlimen tidak diberitahu lebih lanjut akan penarikan fasal GEG tersebut.

Insiden ini menunjukkan realiti sebenar bagaimana ahli Parlimen dipinggirkan jemaah menteri (badan eksekutif) dalam proses menggubal undang-undang.

Selain itu, jika badan eksekutif mempunyai Peguam Negara sebagai pakar dalam isu undang-undang, ahli Parlimen pula tidak mempunyai akses untuk mendapatkan nasihat dengan mana-mana pihak dalam soal perundangan.

Tiada sistem sokongan Ahli Parlimen

Ramai yang kurang sedar tentang betapa daifnya ahli parlimen Malaysia kerana tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat daripada pengurusan Parlimen dalam membuat penyelidikan, menganalisis RUU dan dasar kerajaan, dan merangka undang-undang persendirian.

Meskipun Parlimen Malaysia mempunyai penasihat undang-undang, namun ia tidaklah bertindak dalam membantu ahli parlimen dalam proses menyemak dan menggubal RUU yang dibentangkan kerajaan.

Peranan mereka hanya terhad kepada perundangan berkaitan pentadbiran sahaja. Jadi, tidak hairan jika ada segelintir ahli parlimen memang tidak pandai membaca RUU dan merangka undang-undang persendirian.

Jumlah kakitangan Parlimen Malaysia agak kecil. Berdasarkan dokumen Senarai Perjawatan 2024, parlimen mempunyai 368 kakitangan, yakni lebih kecil berbanding Suruhanjaya Pilihan Raya (748 orang kakitangan), Jabatan Audit Negara (2,032 orang), dan Jabatan Peguam Negara (1,974 orang).

Untuk lebih spesifik, terdapat hanya 19 orang kakitangan bahagian penyelidikan Parlimen jika dibandingkan jumlah kakitangan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) di setiap Zon yang mempunyai 94 orang.

Persoalannya, bagaimanakah 19 orang penyelidik ini mampu membantu 131 ahli parlimen (tidak termasuk Ahli Dewan Rakyat dan Senator dalam kerajaan) untuk menjalankan penyelidikan yang konstruktif dan kritikal dalam analisis dasar itu sendiri? Bagaimana 19 orang penyelidik boleh membantu kerja-kerja jawatankuasa pilihan khas?

Kelemahan ini menyebabkan kebanyakan ahli Parlimen bergantung kepada badan penyelidik parti yang mempunyai kapasiti terhad.

Perkara ini memberi kesan kepada kualiti perbahasan ahli parlimen kerana maklumat diberikan berdasarkan konteks politik kepartian dan bukan isu dasar yang sebenar.

Rakyat seharusnya sedar, mempunyai wakil rakyat yang lantang di Parlimen tidak cukup jika tidak ada sistem sokongan yang boleh membuka informasi dan fakta berguna dalam urusan parlimen.

Kebanyakan ahli Parlimen tidak diberikan bantuan seperti mana pegawai kerajaan melayan Menteri baharu masuk kementerian.

Akta Perkhidmatan Parlimen Solusinya

Advokasi tentang pelaksanaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen dilihat sebagai solusi utama dalam mengatasi sistem sokongan kepada penyelidikan Ahli Parlimen.

Akta ini memberi autonomi dari sudut pengurusan dan kewangan untuk menentukan hala tuju dan keperluannya kendiri.

Berbeza dengan pengurusan Parlimen hari ini yang masih terletak di bawah kuasa eksekutif, yakni Jabatan Perdana Menteri (JPM), termasuklah menentukan jumlah kakitangan Parlimen.

Bermaksud dengan pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) dan pentadbiran Parlimen mempunyai kuasa untuk menentukan keperluan Ahli Parlimen menjalankan tugasnya dengan baik di dalam Dewan Persidangan dan Jawatankuasa Pilihan Khas, termasuk menambah kakitangan penyelidikan, pakar, dan pembinaan infrastruktur teknologinya sendiri.

Parlimen juga boleh menambahbaik bahagian penyelidikan kepada sebuah institusi yang boleh membantu Ahli Parlimen dalam aspek analisis dasar, merangka dan menyemak undang-undang agar wakil rakyat boleh memperbaharui kandungan perbahasan yang lebih berfokus kepada dasar, bukan tergelincir dalam isu remeh seperti pakaian jururawat, peraturan konsert, dan poligami.

Namun, ada beberapa pihak yang mendakwa memberi autonomi pentadbiran dan kewangan kepada Parlimen adalah melanggar cara lama dan mengurangkan kuasa eksekutif dalam soal menentukan kakitangan awam.

Hujah ini agak tempang kerana beberapa kementerian turut mempunyai kuasa dalam menentukan kakitangan masing-masing seperti Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Suruhanjaya Pendidikan Malaysia dalam menentukan pengambilan guru-guru.

Sidang Dewan Rakyat pada tahun 2023 menonjolkan pelbagai kelemahan yang ada kepada Ahli Parlimen dalam menjalankan tugas hakikinya.

Peralihan minda dan budaya Parlimen, yang mengangkat disiplin penyelidikan saintifik, dilihat sebagai ‘game changer’ dalam meningkatkan mutu Ahli Parlimen itu sendiri.

Pelaksanaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen bagi membenarkan parlimen meningkatkan kualiti penyelidikan adalah satu aspek yang wajar disegerakan.

Apabila Parlimen bebas menentukan keperluannya, fungsi Ahli Parlimen dapat diperkasa dan ditambah baik untuk menghasilkan perbahasan dan keputusan yang terbaik di dalam proses demokrasi berparlimen.

Hasrat ini selari dengan harapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dr. Johari Abdul yang mahu ahli Parlimen mahir menganalisis dan mampu membahas dasar di Dewan Rakyat dengan baik dan matang pada mesyuarat Parlimen yang seterusnya.

Parlimen yang mempunyai autonomi menguruskan hal ehwalnya dan mempunyai institusi penyelidikan terbaik melambangkan kemajuan sesebuah masyarakat dan negara yang amat mementingkan keputusan berkualiti, bertanggungjawab, dan matang demi kebaikan rakyat.

Begitulah juga pemimpin dan rakyat Malaysia harus memandang masa depan Parlimen sebagai institusi yang mempertimbangkan keputusan dengan berhemah dan berdasarkan sains dan fakta, bukan sentimen populis semata-mata. – 6 Disember, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen