Apa yang warga Thai lakukan di Israel?


Faisal Tehrani

Warga Thailand yang dibebaskan Hamas dibawa pulang ke negara mereka. – Gambar Facebook, 5 Disember, 2023.

TATKALA gencatan senjata antara Hamas dan Israel berlangsung selama beberapa hari minggu lalu, 23 orang warga Thailand dibebaskan daripada menjadi tebusan Hamas.

Proses pembebasan ini menarik untuk difahami dan ditelitikan. Ini kerana ia melibatkan Syiah Muslim dari Selatan Thailand dan kerjasama kerajaan Iran.

Akan tetapi, sebelum itu : apakah yang dilakukan oleh warga Thailand di Israel?

Selama lebih sedekad, Israel mengambil tenaga kerja murah dari Thailand untuk bekerja di sektor pertanian. Ini kerana sukar mendapatkan tenaga buruh yang tidak perlu dibayar dengan gaji mahal di rantau tersebut.

Buruh negara luar beragama Islam seperti Bangladesh misalnya tidak mahu bekerja di Israel, sementara regim Zionis amat tidak mempercayai rakyatnya yang berbangsa Arab.

Hal ini berbeza lantaran buruh dari Thailand umumnya beragama Buddha dan ini jarang dipermasalahkan.

Buruh dari Asia juga ditanggapi sebagai jarang merungut dan selalu ‘menyerah’ sahaja.

Namun demikian, nasib pekerja Thailand di Israel juga amat jarang dibincangkan dan diketahui umum. Malah jika kita meneliti hal ini, kita akan mendapati pemerasan, diskriminasi dan juga rekod hak asasi manusia regim zionis di Tel Aviv ini amat memualkan. I

a hanya mengesahkan kepada kita yang ideologi zionis ini adalah musuh sejagat.

Pada 2015, dalam satu pendedahan oleh Human Rights Watch sebuah badan hak asasi manusia peringkat sejagat, ada menyatakan layanan untuk pekerja asing di Israel amat buruk dan ini mengesahkan teras dan komponen sebenar ideologi zionisme yang menunjangi kerajaan Israel.

Ia tidak lain tidak bukan adalah aparteid.

Satu sikap perkauman melampau yang lahir dari kepercayaannketuanan sesebuah bangsa.

Saban tahun pihak Human Rights Watch menerbitkan laporan mengenai kondisi buruk buruh Thailand di Israel.

Dalam salah satu laporan setebal 48 halaman dengan judul “A Raw Deal: Abuses of Thai Workers in Israel’s Agricultural Sector,” dijelaskan pekerja Thai ini dibayar dengan gaji rendah, kerja lebih masa melampau, persekitaran kerja berbahaya dan tiadanya kediaman sempurna.

Ada yang hanya tinggal di dapur yang diubahsuai atau diberikan bilik kecil yang disekat-sekat dengan kadbod.

Buruh ini tidak berani untuk membantah atau menunjuk perasaan kerana pasport mereka dipegang dan sering dikenakan lebih tindakan keras jika mengadu dan mengeluh. Akibatnya perhambaan warga Thailand di Israel ini berleluasa.

“Kejayaan” sektor pertanian Israel sebetulnya sangat bergantung kepada migran Thailand yang dieksploitasi ini.

Terdapat 25,000 buruh Thailand yang berekod di negara itu pada 2010 dan angka ini dipercayai berganda besar selepas 2011 apabila Israel dan Thailand menandatangani

Perjanjian yang dikenali sebagai TIC (Thailand-Israel Cooperation on the Placement of Workers) yang memotong yuran atau bayaran tertentu untuk beroleh permit kerja di Israel.

Buruh Thailand ini jarang dapat berhubung dengan keluarga mereka di kampung. Sebaik mereka tiba di Tel Aviv, komunikasi dengan famili terus terputus.

Usaha Human Right Watch menyiasat keadaan mereka mendedahkan kepada 137 orang buruh yang ‘berani bersuara’ dari 10 kawasan penerokaan pertanian (semacam Felda di Israel) yang dikenali sebagai moshavim.

Badan tersebut berjaya mendokumentasikan cerita gila bagaimana buruh ini dilayan dari moshavim di utara, tengah dan  selatan Israel.

Mereka dipaksa bekerja selama 17 jam meskipun tidak sihat, dan gejala sakit ini sangat lumrah dalam kalangan mereka ekoran terdedah kepada racun serangga yang digunakan di kebun. Apabila mereka jatuh sakit, selalunya buruh ini tidak dibawa ke hospital.

Antara 2008 sehingga 2013, terdapat kes kematian mengejut yang tinggi iaitu 122 orang. Ada buruh yang meninggal dunia dalam tidur secara tiba-tiba, dipercayai kerana terlalu penat.

Perhambaan moden ini menjadi kecaman Human Right Watch dan agensi bertanggungjawab iaitu Kementerian Populasi, Imigrasi dan Pengawalan Sempadan Israel (PIBA) serta Kementerian Ekonomi enggan melayan atau merespon acuh tidak acuh terhadap usaha badan hak asasi manusia tersebut untuk masuk campur dan menyelamatkan mereka.

Apabila berlakunya kejadian penyeberangan Hamas ke perbatasan untuk ‘menculik’ warga Israel pada 7 Oktober lepas, 23 tebusan dari Thailand ini turut secara tidak sengaja diambil sama.

Usaha kerajaan Thailand untuk menyelamat dan membebaskan mereka nampaknya menemui jalan buntu sehinggalah tiga Muslim terkemuka Thai melakukan satu inisiatif sendiri.

Mereka adalah Dr Lerpong Sayed, speaker Dewan Rakyat Thailand Wan Muhammad Noor Matha dan tokoh Syiah terkemuka Thailand, Syed Sulaiman Husaini.

Ketiga-tiga mereka berulang-alik ke Tehran yang dipercayai mempunyai akses dengan Hamas sehingga berjaya meyakinkan pertubuhan itu agar membebaskan rakyat Thailand ini. Israel tidak mempedulikan tebusan Thai ini dan Thailand harus melakukannya sendiri menerusi Iran.

Dalam satu wawancara dengan sebuah saluran televisyen Barat, Dr Lerpong menjelaskan Hamas melayan warga Thailand dengan begitu baik.

Ini ekoran Hamas berpegang kepada hakikat bahawa mereka adalah tawanan perang dan di dalam Islam, mana-mana tawanan perang hendaklah dilayani dengan rapi.

Tidak mustahil layanan yang diberikan oleh Hamas jauh lebih sempurna berbanding apa yang mereka terima tatkala berada di Israel.

Hamas bagaimanapun masih menahan 9 orang warga Thailand selepas membebaskan 23 orang Thai semuanya. 17 orang Thai ini sudah selamat pulang ke Thailand.

Satu hal yang penting untuk kita Malaysia pelajari dari proses dan kisah ini ialah untuk sentiasa membuka talian dengan kuasa-kuasa serantau di mana pun.

Tidak memadai untuk kita hanya bekerja dengan Turki (yang diketahui masih menjual minyak dan makanan kepada Israel), tetapi juga harus bekerja dengan Iran yang mempunyai akses dengan Hamas, dan Hezbullah di Lubnan.

Akan tetapi untuk bekerja dan meminta pertolongan orang daripada orang tentulah ada cagaran tertentu.

Hal ini menjadi mudah untuk Bangkok kerana mereka melayani minoriti Syiah Muslim di negara itu dengan baik dan tidak mendiskriminasi mereka. – 5 Disember, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen