GEMPA bumi berukuran 6.5 magnitud melanda pantai utara Papua New Guinea pada Selasa, kata Kajian Geologi AS (USGS), namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Gempa bumi melanda kira-kira 20 kilometer di luar pantai, tidak jauh dari bandar Wekak, ibu kota Wilayah Sepik Timur negara pulau Pasifik itu.
Pusat gempa dikesan pada anggaran kedalaman 12 kilometer (tujuh batu) pada 8:46 pagi waktu tempatan (2146 GMT Isnin), kata USGS.
“Tiada ancaman tsunami”, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik dalam buletin berasingan.
Gempa bumi adalah perkara biasa di Papua New Guinea, yang terletak di atas “Lingkaran Api Pasifik”—lengkok aktiviti tektonik yang merentangi Asia Tenggara dan merentasi lembangan Pasifik.
Walaupun gempa jarang menyebabkan kerosakan yang meluas di tanah tinggi hutan yang jarang penduduknya, ia boleh mencetuskan tanah runtuh.
Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh pada April tahun ini apabila gempa bumi berukuran 7.0 magnitud melanda kawasan hutan di pedalaman negara itu.
Kira-kira 180 rumah musnah di kawasan hutan hujan Karawari berhampiran pusat gempa.
Pada September tahun lalu, 10 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 7.6 magnitud memusnahkan ratusan rumah, jalan terbelah dan menyebabkan bekalan elektrik terputus di seluruh utara negara.
Ia merupakan gempa bumi terbesar yang menggegarkan Papua New Guinea sejak 2018, apabila hampir 150 orang terbunuh berikutan gegaran 7.5 magnitud di wilayah Hela.– AFP, 28 November, 2023.
Komen