SEKURANG-KURANGNYA lima maut manakala sejumlah mangsa lagi cedera dalam insiden gempa bumi berukuran 7.6 magnitud di Papua New Guinea hari ini, yang turut mengakibatkan bangunan mengalami kerosakan dan tanah runtuh.
Menurut penduduk di bandar utara berhampiran pusat gempa, berlaku gegaran kuat pada sebelah pagi yang menyebabkan jalan raya retak.
Ahli Parlimen Kessy Sawang memaklumkan sekurang-kurang dua dilaporkan maut di perkampungan pergunungan terpencil, manakala sejumlah lagi mangsa yang parah pula diterbangkan ke hospital.
Beliau berkata, berlaku kerosakan meluas dengan sejumlah kediaman tertimbus di bawah runtuhan tanah.
Gegaran akibat gempa bumi kuat itu boleh dirasai hingga ke ibu kota, Port Moresby yang terletak kira-kira 480 kilometer dari pusatnya.
Pada awal kejadian, agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai berhampiran, namun kemudian memaklumkan ancaman itu sudah berlalu.
Begitupun, penduduk di kawasan pantai bergegas ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri selepas mendapati paras air laut menurun secara tiba-tiba.
Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape menggesa penduduk supaya terus berjaga-jaga.
Sambil mengaku sangat bimbang akan gempa bumi kuat itu, beliau berkata, beberapa wilayah terkesan dengan bencana kali ini, namun skala kerosakan atau kecederaan yang berlaku belum dapat dipastikan.
“Agensi bencana peringkat wilayah dan kebangsaan, begitu juga pemimpin, sudah diminta untuk menilai kerosakan serta kecederaan yang berlaku, sekali gus menanganinya dengan secepat mungkin,” katanya.
Menurut USGS, gempa bumi itu berlaku pada kedalaman 61km, kira-kira 67km dari bandar Kainantu.
Sementara itu, agensi berkenaan juga melaporkan dua gempa bumi kuat melanda Kepulauan Mentawai di luar pantai barat Pulau Sumatera, Indonesia, hari ini.
Gempa berukuran 6.0 magnitud melanda pada kedalaman 20km kira-kira jam 6.10 pagi waktu tempatan, disusuli satu lagi gempa 5.7 magnitud pada kedalaman 10km beberapa minit kemudian. – AFP, 11 September, 2022.
Komen