Penyelamat bawa keluar kesemua mayat nahas pesawat di Papua


Lokasi pesawat Karavan Cessna C208B milik Semuwa Air yang terhempas di kawasan pergunungan Papua ditemukan pasukan SAR bersama menerusi pemerhatian udara pada 4.08 petang waktu tempatan, antara wilayah Elelim dan Poik. – Gambar Twitter, 29 Jun 2023.

PASUKAN mencari dan menyelamat bersama pada Selasa tiba di lokasi pesawat Karavan Cessna C208B milik Semuwa Air yang terhempas di kawasan pergunungan Papua minggu lepas dan mengeluarkan kesemua mayat mangsa, lapor ANTARA.

Ketua Operasi Agensi Mencari dan Menyelamat (Basarnas) Jayapura, Marinus Ohoirat mengesahkan pesawat itu ditemukan musnah dan terbakar manakala kesemua penumpang serta anak kapal maut.

Mayat mangsa diterbangkan ke Jayapura dan dibawa ke Hospital Bhayangkara di bandar ini untuk pengecaman.

“Selepas proses pengecaman, mayat akan diserahkan kepada keluarga mereka,” kata Ohoirat.

Pasukan SAR gabungan itu terdiri daripada 12 pegawai dari Basarnas dan Pasukan Khas Tentera Udara Indonesia, tambahnya.

Pesawat dengan kod pendaftaran PK-SMW dilaporkan hilang dalam perjalanan dari Elelim ke wilayah Poik pada pagi 23 Jun selepas ia gagal tiba di Poik pada masa yang dijadualkan.

Lokasi nahas itu kemudiannya ditemukan pasukan SAR bersama menerusi pemerhatian udara pada 4.08 petang waktu tempatan, antara wilayah Elelim dan Poik.

Sementara itu Pengarah Semuwa Air Wagus Hidayat berkata pihaknya bersedia menanggung kos penghantaran jenazah kesemua mangsa ke kampung halaman atas permintaan keluarga.

Juruterbang Hari Permadi dan Pegawai Pertama Levi Murib adalah kru pesawat malang itu. 

Sementara itu, empat penumpang dikenali sebagai Bartolomeus (34), Ebeth Halerohon (29), Dormina Halerohon (17) dan Kilimputni (20). – Bernama, 29 Jun 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen