New Zealand mansuh akta generasi penamat rokok


New Zealand bakal membatalkan undang-undang antimerokok kerana bimbang pasaran gelap produk tembakau yang berkembang pesat. – Gambar EPA, 27 November, 2023.

PERDANA menteri baharu New Zealand, Christopher Luxon mengesahkan pada Isnin bakal memansuhkan undang-undang antimerokok yang disifatkan oleh penyokong kempen kesihatan sebagai kemenangan besar bagi industri tembakau.

Di bawah bekas perdana menteri Jacinda Ardern, undang-undang itu bertujuan melarang penjualan rokok kepada mereka yang dilahirkan selepas 2008. 

Ia mendapat pujian pakar kesihatan awam dan penyokong antimerokok, satu langkah yang hampir sama diumumkan baru-baru ini di United Kingdom.

Tetapi selepas mengangkat sumpah pada Isnin, Luxon mengesahkan New Zealand akan membatalkan undang-undang itu sebelum ia berkuat kuasa, dengan alasan bimbang pasaran gelap produk tembakau yang berkembang pesat.

Luxon mengakui hasil cukai daripada jualan rokok akan menjana hasil yang dialu-alukan kerajaan, tetapi menegaskan ia “bukan motivasi untuk melakukannya.”

Kumpulan antimerokok Health Coalition Aotearoa berkata pemansuhan dasar itu adalah satu penghinaan kepada negara.

“Ini adalah kekalahan besar bagi kesihatan awam, dan kemenangan besar industri tembakau, yang keuntungannya akan meningkat dengan mengorbankan nyawa rakyat Kiwi,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Luxon berkata larangan rokok akan mewujudkan peluang untuk pasaran gelap muncul, yang sebahagian besarnya tidak akan dikenakan cukai.

Perundangan itu, yang dijadualkan dilaksanakan akhir tahun ini, diwujudkan untuk mengurangkan jumlah pengguna produk tembakau dengan serta-merta.

Walaupun bilangan orang dewasa yang merokok di New Zealand sudah agak rendah iaitu hanya 8%, kerajaan terdahulu membayangkan masa depan di mana negara itu bebas rokok sepenuhnya.

Selain had umur yang semakin meningkat, undang-undang baharu itu akan mengurangkan bilangan peruncit yang boleh menjual produk tembakau kepada maksimum hanya 600 di seluruh negara, penurunan besar daripada angka semasa iaitu 6,000. – AFP, 27 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen