New Zealand umum pembentukan kerajaan campuran 


National Party memenangi pilihan raya pada 14 Oktober lepas sekali gus menggantikan Labour Party yang memerintah selama enam tahun namun tidak cukuop kerusi bentuk kerajaan. – Gambar EPA, 24 November, 2023.

TIGA parti politik New Zealand pada Jumaat mengumumkan pembentukan kerajaan campuran baharu selepas rundingan berminggu-minggu.

National Party memenangi pilihan raya pada 14 Oktober lepas sekali gus menggantikan Labour Party yang memerintah selama enam tahun, namun tidak mempunyai cukup kerusi untuk membentuk kerajaan.

Kerajaan baharu itu terdiri beberapa gabungan parti iaitu National Party, ACT New Zealand Party dan New Zealand First Party, kata bakal Perdana Menteri Christopher Luxon yang juga ketua National Party semasa majlis menandatangani perjanjian gabungan itu di Parlimen, lapor Xinhua.

Pemimpin New Zealand First, Winston Peters, akan menjadi timbalan perdana menteri untuk tempoh separuh pertama penggal parlimen tiga tahun dan pemimpin ACT David Seymour akan menjadi timbalan perdana menteri untuk separuh kedua penggal.

Peters juga memegang jawatan menteri luar dan Seymour sebagai menteri yang menilai peraturan dan kualiti peraturan sedia ada.

Kabinet 20 ahli itu terdiri daripada 14 menteri dari National Party, masing-masing tiga menteri daripada ACT dan NZ First.

Nicola Willis dari National Party dilantik sebagai menteri kewangan.

Kerajaan baharu itu akan mengangkat sumpah pada Isnin. – Bernama, 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen