New Zealand siap sedia adakan pilihan raya umum 


New Zealand bakal menyaksikan kira-kira 3.8 juta pengundi berdaftar memilih 120 Ahli Parlimen.– Gambar EPA, 4 Oktober, 2023.

NEW Zealand sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya umum pada 14 Oktober, menyaksikan kira-kira 3.8 juta pengundi berdaftar memilih 120 Ahli Parlimen.

Parti Buruh yang diketuai oleh Perdana Menteri Chris Hipkins, menekankan keutamaan seperti pendidikan, mencipta peluang pekerjaan, dan latihan belia.

Mereka juga telah menjanjikan inisiatif seperti pengangkutan awam percuma untuk kanak-kanak di bawah 13 tahun, mengurangkan cukai ke atas buah-buahan dan sayur-sayuran, dan meningkatkan gaji minimum, lapor Agensi Anadolu.

Parti pembangkang utama, Parti Nasional, yang diketuai oleh Christopher Luxon, menjanjikan perubahan dalam perundangan, termasuk pemansuhan Cukai Bahan Api Serantau Auckland dan mengembalikan semula tempoh percubaan pekerjaan selama 90 hari.

Mereka juga merancang untuk menangani isu seperti mengharamkan telefon bimbit di sekolah dan melanjutkan pemeriksaan kanser payudara secara percuma.

Kedua-dua pihak berdepan cabaran mengurus inflasi dan meningkatkan ekonomi negara.

IMF memberi amaran tentang potensi inflasi yang tinggi sehingga 2025.

Saingan sengit dijangka membabitkan Parti Buruh dan Parti Kebangsaan, manakala 19 parti mengambil bahagian secara keseluruhan.

Hipkins, yang baru-baru ini diuji positif Covid-19, akan menjalankan kempennya secara dalam talian.

Pilihan raya itu diadakan selepas Jacinda Ardern meletak jawatan secara mengejut awal tahun ini, dengan Hipkins mengambil alih sebagai ketua parti dan perdana menteri.

Pada pilihan raya 2020 sebelum ini, Parti Buruh Ardern memenangi 65 kerusi. – Bernama, 4 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen