Syarikat didapati bersalah berhubung bencana gunung berapi New Zealand


Sebuah mahkamah di Auckland mendapati Pengurusan Whakaari gagal menilai risiko kepada pelawat dengan secukupnya, atau menyediakan peralatan perlindungan kepada mereka dalam kejadian gunung berapi meletus pada 2019. – Gambar EPA, 31 Oktober, 2023.

SEBUAH syarikat New Zealand yang menguruskan pulau gunung berapi yang meletus dan meragut 22 nyawa pada 2019, hari ini didapati bersalah kerana gagal melindungi pelancong dengan sewajarnya.

Kira-kira 50 orang berada di White Island – juga dikenali sebagai Whakaari – pada Disember 2019 apabila gunung berapi itu meletus.

Kejadian itu turut menyebabkan 25 orang melecur teruk.

Sebuah mahkamah di Auckland mendapati Pengurusan Whakaari gagal “menilai risiko” kepada pelawat dengan secukupnya, atau menyediakan peralatan perlindungan kepada mereka.

“Ini penting untuk memastikan lawatan dapat dijalankan dengan selamat,” kata Hakim Evangelos Thomas.

Pertuduhan kedua bagi memastikan keselamatan mereka yang bekerja di pulau itu ditolak.

Syarikat pengurusan itu adalah yang terakhir daripada 13 individu dan organisasi yang pada asalnya didakwa berkaitan bencana itu.

Enam daripada 13 yang didakwa itu, termasuk tiga beradik yang memiliki pulau itu, sudah dibebaskan.

Pengurusan Whakaari – yang memberikan permit melawat pulau itu – akan dijatuhkan hukuman pada Februari depan dengan enam pihak lain yang mengaku bersalah.

Pihak yang bersalah berdepan denda sehingga NZ$1.5 juta (RM4.16 juta).

Semasa perbicaraan selama 10 minggu, mahkamah mendengar yang pemilik pulau itu memperoleh kira-kira NZ$1 juta setahun daripada pelancong sebelum bencana melanda.

Pada Mei tahun lalu, agensi pengurusan kecemasan New Zealand dibersihkan daripada sebarang salah laku.

Sejak letusan itu, tiada lawatan bot atau kapal terbang dibenarkan mendarat di pulau itu. – AFP, 31 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen