Peluang Anwar pulihkan populariti


G Manimaran

Hasil kajian Merdeka Center mendapati kadar penilaian kelulusan atau populariti Anwar merosot kepada 50 peratus. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2023.

DUA minggu lalu saya menulis bahawa Anwar Ibrahim merupakan satu-satunya perdana menteri yang berhadapan dengan ujian getir yang besar sepanjang satu tahun pertama diangkat ke jawatan itu. Isu demi isu dan kritikan demi kritikan. Begitu juga arus persepsi.

Ia disusuli dengan hasil kajian umum Merdeka Center baru-baru ini.

Ringkasnya hasil kajian Merdeka Center mendapati kadar penilaian kelulusan atau populariti Anwar merosot kepada 50 peratus.

Hasil kajian tersebut turut mendapati sehingga Oktober lalu sebanyak 48 peratus responden tidak berpuas hati dengan prestasi pentadbiran kerajaan perpaduan. Hasil kajian empirikal ini sememangnya telah dijangka dan diramalkan.

Mengikut kenyataan media dikeluarkan seramai 1,220 responden telah ditemu bual melalui telefon secara tetap dan talian mudah alih.

Responden kaji selidik adalah dari semua negeri di seluruh Semenanjung Malaysia merangkumi Sabah dan Sarawak.

Menurut Merdeka Center daripada jumlah responden 52 peratus adalah dari kalangan responden Melayu, Cina (29 peratus), India (tujuh peratus) manakala enam peratus bagi Bumiputera bukan Islam dan Bumiputera Islam.

Tinjauan yang sama turut menyaksikan majoriti responden iaitu 48 peratus merasakan bahawa negara berkemungkinan menuju ke arah yang salah.

Sentimen negatif pengundi berhubung hala tuju negara berikutan kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi dan faktor inflasi.

Seperti biasa, pelbagai reaksi telah dilontarkan. Pihak pembangkang menerima dengan baik hasil tinjauan itu. Bagi mereka ia peluru untuk mengkritik kepimpinan dan pentadbiran kerajaan semasa.

Sebaliknya barisan dalam kerajaan terutama penyokong Pakatan Harapan (PH) melihat daripada sudut yang berbeza.

Mereka mempertikaikan ketulenan keputusan kajian, terutama kaedah yang digunakan. Mereka kelihatan lemah semangat.

Ini bukan kali pertama hasil kajian terutama yang dikeluarkan oleh Merdeka Center dipersoal, dipertikai, dan dikecam.

Kesemua parti yang berhadapan dengan situasi itu pernah mengambil pendirian yang sama.

Mereka tidak dapat menerima hasil kajian Merdeka Center mempersolkan kaedah yang digunakan untuk mendapatkan jumlah sampel dan pendirian responden.

Kritikan yang disaksikan hari ini wujud sejak Merdeka Center mengeluarkan hasil kajian seumpama itu  hampir dua dekad lalu.

Anwar dalam responsnya memberitahu beliau mengambil maklum perkara itu dan menyatakan bahawa maklum balas tersebut adalah daripada 1,200 orang dan bukannya 32 juta rakyat Malaysia.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berpendirian bahawa sokongan serta penilaian rakyat terhadap kerajaan di bawah kepimpinan Anwar meningkat sejak September lepas.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilaporkan berkata berdasarkan kajian partinya, mereka mendapati sokongan rakyat dan penilaian kelulusan terhadap perdana menteri meningkat setelah kerajaan perpaduan melancarkan beberapa kertas dasar antaranya Ekonomi Madani dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) September lepas.

Beliau berkata sememangnya pada Mei hingga Ogos lepas sokongan rakyat terhadap kerajaan rendah akibat kejatuhan mata wang serta kononnya kerajaan perpaduan akan tumbang seperti dimainkan oleh pembangkang.

“Menuju ke depan melihat kesemua elemen itu, kerajaan perpaduan kukuh dan sokongan orang awam dan rating kelulusan sedang meningkat,” kata beliau.

Rafizi juga berpendapat kaji selidik Merdeka Center itu tidak bersandarkan dapatan yang penting terhadap rakyat mahupun kerajaan.

Pada pandangan beliau, kaji selidik perlu dilihat secara siri masa dan untuk menilai suasana sebenar, sokongan rakyat terhadap Anwar perlu dibandingkan dengan pola sokongan rakyat terhadap beberapa bekas perdana menteri sebelum ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpendirian bahawa kerajaan mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Anwar dan melihatnya daripada sudut pandang positif iaitu untuk menambah baik usaha menyelesaikan masalah termasuk isu ekonomi.

Jurucakap kerajaan itu menjelaskan kerajaan mengambil maklum laporan berkenaan walaupun ia bersifat ‘snap shot’ atau ‘keratan rentas’ pada ketika itu.

Ahli-ahli politik perlu keluar daripada sindrom penafian dan menafikan hasil kajian persepsi yang kurang menyenangkan seperti penurunan populariti.

Dalam politik, turun naik atau alunan sokongan dan populariti adalah normal.

Suasana itu dilalui dan pernah dialami oleh personaliti besar politik di dalam dan di luar negara.

“Ini normal dalam politik. Turun naik graf sokongan dan pandangan orang ramai. Ia pernah dialami oleh Presiden Barack Obama, Bill Clinton, (kedua-dua) George Bush dan Joe Biden pada hari ini. Begitu juga Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri dua kali), Najib Razak dan Muhyiddin Yassin,” kata sarjana pengajian komunikasi, Syed Arab Idid.

Beliau yang mengendalikan siri kajian mengenai populariti dan isu sejak lebih empat dekad lalu berkongsi pandangan bahawa “ini normal dalam politik, kepimpinan dan pentadbiran negara.”

“Mengenai jumlah responden, lazimnya lebih daripada 1,200 orang sudah cukup dan boleh diterima dalam mana-mana kajian.” kata beliau.

Dalam perbualan dua hari lalu beliau berkongsi tentang kebolehan dan keupayaan seseorang pemimpin untuk keluar daripada pola penurunan dan kemerosotan populariti.

“Persoalannya ialah sama ada mereka boleh berjaya atau sebaliknya… jika susun atur strategi adalah betul dan berkesan, ia akan membawa hasil positif,” kata Syed Arabi.

Di peringkat tempatan, Dr Mahathir bijak menggunakan strategi dengan berkesan walaupun seringkali berhadapan dengan isu dan popularitinya merosot antaranya pada penghujung 1980-an dan 1990-an.

Najib berhadapan dengan situasi yang berbeza sejak mengambil alih jawatan perdana menteri pada April 2009. Begitu juga Muhyiddin apabila terpaksa jawatannya selepas 17 bulan.

Daripada sudut komunikasi politik, setiap pemimpin perlu mempunyai strategi untuk keluar daripada persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Terutama apabila penilaian kelulusan dan populariti mula menurun. Pemimpin memerlukan pasukan politik-komunikasi yang efektif untuk menangani situasi semasa. Begitu juga Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX).

Itulah cabaran besar beliau ketika melangkah ke tahun kedua pentadbiran kerajaan perpaduan.

Anwar perlu memperkasakan senarai 10 perkara utama pada tahun kedua kepimpinannya. Bukan sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

Kembali kepada janji sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 dan amanat sebaik dilantik sebagai PMX.

Anwar ada keupayaan untuk membetulkan keadaan. Walaupun ada cakap-cakap nakal bahawa akan menjadi bekas perdana menteri (XPM) dalam waktu terdekat, tetapi beliau ada peluang untuk mempertulkan persepsi, melantunkan semula kadar penilaian kelulusan dan kekal sebagai PMX serta membuktikan bahawa kerajaan perpaduan boleh berjaya.

Cuma ia memerlukan kerja keras dengan kadar segera dan yang luar biasa. Populariti turun naik hanya bersifat sementara.

Sebaliknya yang penting memenuhi keperluan rakyat dan pengundi semua lapisan atas kapasiti “saya perdana menteri untuk semua”.

Anwar perlu gunakan satu lagi peluang ini dengan sebaik mungkin. – 27 November, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen