Setahun selepas PRU15, bulan madu sudah lama berakhir


G Manimaran

Pilihan raya, sama ada peringkat nasional mahupun negeri, seharusnya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan lebih baik untuk rakyat dan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Oktober, 2023.

DALAM dua minggu lagi akan genap satu tahun Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipanggil dan dilangsungkan. PRU berlangsung dalam suasana aman, tetapi perpecahan dalam kalangan rakyat melebar.

Pada 19 November, PRU15 diadakan bagi kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tiga buah negeri. Bagi saya, ia fasa kedua PRU15. Buat julung kali PRU diadakan secara berasingan.

PRU15 harus dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa pertama PRU15 lebih bersifat pilihan raya mengejut, membabitkan DUN Melaka dan Johor

. Kemudian, PRU15 melibatkan enam buah negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – yang lazimnya dipanggil sebagai pilihan raya negeri (PRN).

Ketika negara menghampiri 365 hari pasca-PRU15 19 November, satu persoalan yang bermain di minda dalam kalangan kebanyakan rakyat sama ada undi yang diberikan tempoh hari membawa manfaat dan hasil yang diharapkan.

Harapan rakyat dalam pelbagai sudut masih tinggi dalam kesemua segi – politik, ekonomi dan sosial. Berbanding tempoh pasca-PRU masa-masa lalu, keputusan PRU tidak membawa kepada kepuasan tinggi dalam kalangan rakyat.

PRU15 dilangsungkan di sebalik harapan yang tinggi banyak pihak bahawa pilihan raya kali akan membawa kepada kestabilan berkekalan yang diharapkan susulan kemelut politik demi kemelut politik dan kekerapan perubahan kerajaan pusat dan beberapa kerajaan negeri sepanjang tempoh pasca PRU14.

Sebagaimana kita sedia maklum, Malaysia buat pertama kali dikurniakan tiga perdana menteri dalam tempoh empat tahun menjelang PRU15, dan begitu juga ada negeri yang memiliki tiga menteri besar, iaitu Johor manakala Kedah, Perak dan Melaka turut menyaksikan perubahan pucuk kepimpinan sebanyak dua kali – tempias daripada Langkah Sheraton.

Perkembangan itu membawa kepada teguran Sultan Perak yang memberi peringatan bahawa kekerapan menukar ketua kerajaan bukan sesuatu yang perlu dibanggakan. Sebaliknya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan bahawa perkembangan itu merupakan “cerminan kepada kegagalan sebuah pentadbiran”.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah merasmikan pembukaan mesyuarat pertama Parlimen ke-15, pada 13 Februari, 2023 menzahirkan harapan baginda agar pentadbiran Anwar Ibrahim selaku perdana menteri adalah yang terakhir sebelum baginda menamatkan tugas dan kembali ke Pahang pada 30 Januari depan.

Baginda menyifatkan peristiwa dan pengalaman yang berlaku sepanjang baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong sebagai bersejarah dan sukar untuk dilupakan. Pandangan itu dizahirkan berikutan baginda menjadi satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang memerintah negara dengan empat orang perdana menteri – Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri Yaakob dan Anwar, serta empat jemaah menteri yang berlainan susulan kemelut politik berpanjangan sejak Februari 2020.

Menjelang PRU15 19 November, tiga negeri mengadakan PRN mengejut iaitu Sabah, Melaka dan Johor. Selain perubahan kerajaan pusat dan beberapa negeri, banyak peristiwa yang tidak dijangkakan dan di luar kawalan juga berlaku, sekali gus mencetuskan satu situasi apa yang pernah direkodkan di negara-negara demokrasi lain, juga berlaku dan disaksikan di Malaysia.

Keadaan itu sekali gus membawa kepada tanggapan sama ada ekosistem berpolitik menjadi semakin kompleks atau Malaysia berhadapan dengan krisis kepemimpinan.

Ia menjadi polemik apabila parti politik mengambil pendekatan ke belakang dengan menyemai prinsip dan budaya berpolitik yang bertentangan nilai tatasusila Malaysia.

Pendekatan berkempen yang digunakan sejak awal pasca-PRU14 dan ketika tempoh berkempen PRU15 juga mencerminkan sentimen perkauman semakin menebal.

Timbul persoalan sama ada Malaysia menuju ke arah sistem politik yang lebih matang memandangkan keputusan setiap PRU, bermula dari 2008 hingga 2018, telah memberikan satu anjakan baharu dalam landskap pilihan raya dan pentadbiran selepas itu.

Adakah rakyat Malaysia terutama para pengundi semakin matang dalam membuat keputusan di peti undi.

Sebenarnya kitaran ini bermula semasa PRU 1990 dan sekali lagi disaksikan sembilan tahun kemudian ketika PRU 1999, dan seterusnya pada 2008 apabila lima negeri jatuh ke tangan gabungan pembangkang tidak formal iaitu Pakatan Rakyat (PR), yang dibentuk oleh DAP, PAS dan PKR.

Keberanian dan kematangan pengundi untuk mengambil keputusan lebih berani disaksikan pada tahun 2018 apabila Barisan Nasional (BN) disingkirkan daripada pentadbiran kerajaan pusat.

Sehingga pertengahan 1990-an wujud persoalan sama ada rakyat akan membuat keputusan berani yang pernah dialami di Thailand, Indonesia, India dan Jepun, apatah lagi di United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS).

Perkembangan di Malaysia juga menjadi bahan kajian di negara jiran rantau Asia Tenggara termasuk di Singapura, yang keluar dari Malaysia selepas dua tahun menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963.

Dalam lain perkataan, boleh dirumuskan sistem politik dan pilihan raya menuju arah aliran yang lebih matang selepas PRU yang pertama pada 1959, dua tahun selepas negara merdeka. Ini satu kemajuan yang wajar dibanggakan.

Negara bukan sahaja maju daripada segi ekonomi dan sosial, tetapi sektor politik juga menggambarkan perubahan yang diharapkan. Ini antara lain disumbangkan oleh pendedahan rakyat kepada perkembangan di peringkat global daripada segi politik, ekonomi, sosial dan teknologi secara langsung dan tidak langsung.

Kesedaran politik dalam kalangan rakyat, yang sebahagian besar merupakan pengundi (dua pertiga rakyat adalah pengundi semasa PRU15), juga bertambah baik.

Ia turut disumbangkan oleh peranan pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat madani yang jumlahnya semakin banyak sejak tiga dekad lalu. Pendidikan komunikasi politik, di kedua-dua peringkat institusi pengajian tinggi awam dan swasta, yang semakin berkembang juga menyumbang kepada satu bentuk keputusan pilihan raya yang berbeza pada hari ini.

Kematangan berfikir, membuat analisis, membuat keputusan di peti undi dan berani membuat keputusan semakin mantap, yang harus dianggap sebagai baik untuk negara. Kesetiaan kepada satu-satu parti tidak boleh kekal memandangkan citarasa pengundi dan masyarakat pada amnya terus berubah dan akan jauh berubah selepas ini.

Pada masa sama, pengundi meletakkan harapan yang tinggi dalam PRU15 agar membuahkan kestabilan politik untuk menikmati manfaat dan kelebihan pelbagai perspektif – keyakinan ke atas sosioekonomi negara, pertumbuhan dan kemakmuran, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat.

Sebenarnya, keputusan PRU15 pada 19 November lalu tidak membawa Malaysia ke arah kestabilan yang bulat dan kukuh. Disebabkan situasi Parlimen dan DUN tergantung (di Perak dan Pahang), kerajaan perpaduan terpaksa dibentuk. Perkembangan di peringkat pusat turut dicerminkan di kedua-dua negeri Perak dan Pahang.

Impak peringkat pusat sudah mula dilihat di beberapa negeri yang mengadakan PRN sebelum PRU15 dan juga di negeri yang mengadakan PRN pada tahun 2023. Beberapa kerajaan negeri turut mengambil langkah ke arah itu.

Pilihan raya, sama ada peringkat nasional mahupun negeri, seharusnya membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan lebih baik untuk rakyat dan negara. Pada realitinya ia tidak menjadi. Ia tidak dirasai sepenuhnya dan tidak dapati dinikmati langsung oleh rakyat jelata.

Politiking keterlaluan masih berterusan. Kuasa politik menjadi keutamaan aktor-aktor politik. Kepentingan rakyat yang mengundi tidak menjadi keutamaan. Rakyat kekal dihimpit pelbagai ujian dan cabaran.

Ini termasuklah kos sara hidup yang terus mengalami peningkatan, walaupun kita bertenang dengan alasan ia di luar kawalan negara. Tindak-tanduk menggugat keharmonian kaum dan agama lebih mendapat tempat berbanding usaha meningkatkan uniti dan perpaduan rakyat.

Perbahasan oleh wakil rakyat kita di dewan perundangan, di kedua-dua peringkat negeri dan nasional, belum mencapai kelas tersendiri. Idea memperkasakan dasar dan program demi rakyat tidak menonjol.

Di kaca mata rakyat pula, pembangkang sibuk dengan impian mahu menjatuhkan kerajaan manakala barisan exco dan Kabinet kurang terserlah untuk menaikkan taraf sosioekonomi rakyat walaupun sudah hampir setahun diberikan amanah dan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran.

Bekas timbalan perdana menteri Musa Hitam dalam satu program dialog yang diadakan di bangunan Parlimen pada akhir bulan Januari 2023, hampir tiga bulan selepas kerajaan perpaduan dibentuk memberitahu menteri ekonomi bahawa rakyat hanya boleh “bersopan” antara tiga hingga enam bulan.

Mesej bekas timbalan presiden Umno, itu antara lain mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan perlu bergerak dengan pantas dalam menguruskan negara dan harapan rakyat.

Sedang negara menghampiri genap satu tahun pasca PRU15, banyak persoalan memerlukan jawapan jelas mengenai hala tuju negara dan usaha memperkasakan pelbagai sudut kehidupan rakyat di semua fasa termasuk di peringkat negeri.

Pilihan raya di semua peringkat selesai. Setiap negeri dan pusat sudah ada mandat rakyat yang inginkan pembaharuan dan penambahbaikan berterusan.

Senarai isunya jelas. Kita tunggu formula penyelesaian. Banyak perkara mudah dan ringkas boleh dilakukan dengan segera.

Perdana menteri tidak mampu melakukan semua seorang diri. Begitu juga para menteri besar dan ketua menteri. Mereka memerlukan pasukan sokongan yang padu, bernas dan mantap untuk menawarkan formula penyelesaian. Dan, mereka perlu disokong oleh penjawat awam yang perlu memberikan sokongan profesional demi rakyat dan negara.

Masa untuk berbulan madu sudah lama berakhir. Kini waktu melaksanakan dasar, program dan aktiviti yang bernas dengan segera dan secara holistik. Kesabaran rakyat sudah menghampiri penghujung.

Pada 27 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17. Tahniah Tuanku! – 30 Oktober, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen