Kumpulan peguam desak gugur kes ketua penerangan Bersatu


KUMPULAN peguam Lawyers for Liberty (LFL) menggesa peguam negara mengugurkan pendakwaan terhadap Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, yang semalam dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan menghasut.

Kerajaan juga didesak supaya berhenti menggunakan ‘undang-undang yang menindas’ untuk menyekat kebebasan bersuara, kata LFL dalam satu kenyataan hari ini.

Razali, yang juga Adun Kijal, didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam. 

Beliau didakwa membuat kenyataan berbaur hasutan dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan berkait keputusan kes Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

LFL berkata ia terkejut dengan tindakan kerajaan yang giat berusaha untuk menyekat kebebasan bersuara pemimpin pembangkang, yang jelas melanggar janji Pakatan Harapan (PH) dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memansuhkan Akta Hasutan.

“Akta Hasutan adalah undang-undang era kolonial 1948 mencabuli kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Takrifan yang terlalu luas digunakan dalam akta tersebut memberi mana-mana kerajaan kuasa yang berlebihan untuk memutuskan apa yang dimaksudkan dengan hasutan, yang benar-benar menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan politik di Malaysia,” katanya.

Tambah kumpulan itu, sebarang ucapan tidak boleh disifatkan sebagai jenayah hanya kerana mengkritik badan kehakiman. 

“Ambang untuk sekatan terhadap kebebasan bersuara mesti kekal tinggi, terutamanya apabila ucapan yang dipersoalkan itu tidak berunsur kebencian, mengancam atau menghasut keganasan.

“Sebarang perselisihan pendapat dalam mana-mana isu, walaupun kontroversi, mesti dibahas dan dibincangkan, bukan diancam atau diugut untuk menutup mulut,” kata LFL. 

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen