Kumpulan peguam selar menteri berhubung isu kewarganegaraan


Kumpulan Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini mengenai hak untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Oktober, 2023.

KUMPULAN Lawyers for Liberty (LFL) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini mengenai hak untuk mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Pengarah LFL Zaid Malek tidak bersetuju dengan kenyataan Saifuddin di mana beliau mendakwa kuasa untuk memberikan kerakyatan adalah anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata menteri dalam negeri tidak boleh merampas hak kerakyatan rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan.

“Ini (kuasa kewarganegaraan hak eksklusif untuk Putrajaya) adalah palsu dan ancaman kepada hak kewarganegaraan rakyat Malaysia yang ditubuhkan sejak Merdeka.

“Ia adalah satu percubaan untuk merampas hak yang dijamin kepada rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan. Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan memberikan kewarganegaraan sebagai hak jika seseorang itu termasuk dalam kriteria yang disenaraikan di bawah Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua.

“Tiada ruang untuk campur tangan atau halangan oleh Kerajaan Persekutuan sekiranya seseorang itu termasuk dalam kriteria yang disenaraikan,” kata peguam itu dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad Saifuddin berkata sebanyak 9,539 permohonan kewarganegaraan sedang dipertimbangkan oleh kerajaan untuk kelulusan sehingga September.

Beliau berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri akan sentiasa mempertimbangkan setiap permohonan kerakyatan secara adil.

Beliau berkata pemberian kerakyatan Malaysia adalah hak eksklusif kerajaan persekutuan dan ia tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya.

Zaid berkata pendirian Saifuddin yang menyalahi undang-undang adalah punca keengganan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mematuhi undang-undang dalam kes rakyat Malaysia tanpa kerakyatan yang dilahirkan di negara ini.

“Terdapat puluhan ribu kes di mana mereka yang menjadi warganegara mengikut Perlembagaan dinafikan kewarganegaraan walaupun berada dalam kriteria yang disenaraikan di bawah Bahagian I dan Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan.

“Sementara itu keputusan mahkamah kerap diabaikan oleh Menteri Dalam Negeri seperti keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes ‘CCH & Anor v Pendaftar Besar Bagi Kelahiran dan Kematian [2022]’ yang mengiktiraf hak anak-anak untuk kewarganegaraan,” katanya.

Walaupun tindakan JPN yang enggan mematuhi undang-undang kewarganegaraan di bawah Perlembagaan adalah isu yang sudah lama berlarutan walaupun sebelum kerajaan sedia ada ditubuhkan, Zaid mendakwa kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) kini memburukkan keadaan dengan mencadangkan pindaan undang-undang kewarganegaraan di bawah Perlembagaan dalam usaha untuk menyekat kelayakan kewarganegaraan.

Beliau berkata pindaan ini akan menghapuskan perlindungan utama di bawah Bahagian II dan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan yang akan memusnahkan sebarang harapan mereka yang pada masa ini tanpa kerakyatan untuk mendapatkan pengiktirafan kerakyatan mereka serta mewujudkan generasi baharu individu tanpa kerakyatan.

Mereka yang sememangnya rakyat Malaysia akan dilucutkan kewarganegaraan sekiranya pindaan ini dilaksanakan, tambah Zaid.

Walaupun bantahan besar-besaran terhadap cadangan pindaan itu dibuat, kerajaan tetap berdiam diri dan menteri dalam negeri mengesahkan mereka masih meneruskan cadangan itu dengan membentangkannya kepada Majlis Raja-raja.

“Tiada maklum balas munasabah oleh kementerian mengenai nasib mereka yang tidak bernegara sekiranya pindaan itu dilaksanakan.

“Golongan tanpa kerakyatan dilucutkan hak asasi untuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan sara hidup. Ramai yang tidak ada warganegara pada mulanya disebabkan oleh kegagalan pentadbiran yang teruk oleh JPN dan Kementerian Dalam Negeri.

“Daripada menangani perkara ini, mereka kini memburukkan lagi masalah dengan pindaan ini. Ini adalah kejam dan tidak berperikemanusiaan. Janji reformasi berkobar-kobar tetapi apabila mereka yang memerlukan bantuan tidak diendahkan,” katanya. – 4 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen