Jangan guna konflik Gaza untuk sekat perbezaan pendapat, kata kumpulan peguam


KERAJAAN tidak seharusnya menggunakan konflik Palestin - Israel yang sedang berlaku sebagai alasan untuk mengekang perbezaan pendapat di media sosial, kata Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarahnya Zaid Malik mengecam Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kerana menggunakan perang untuk menyekat perbezaan pendapat.

“Ini nampaknya satu percubaan yang telus dan kekok untuk menggunakan tragedi terbaru rakyat Palestin ini sebagai alasan untuk mengekang laman media sosial.

“Nampaknya sebarang alasan akan dilakukan oleh kerajaan ini, sebelum ini bergantung kepada apa yang dipanggil ‘3R’ dan kini memetik kononnya penyebaran berita palsu mengenai konflik Palestin-Israel sebagai alasan untuk menyekat.

“Adalah menyedihkan konflik antarabangsa yang berdepan kehilangan nyawa manusia yang tinggi sedang dieksploitasi oleh kerajaan untuk mewajarkan agenda domestiknya bagi menyekat perbezaan pendapat dan kritikan,” kata Zaid.

Zaid menjawab kenyataan Fahmi baru-baru ini bahawa kerajaan sedang mengambil langkah untuk menguatkan pematuhan undang-undang dalam platform media sosial susulan laporan Al-Jazeera menonjolkan Malaysia sebagai contoh utama berita palsu berkenaan konflik Palestin-Israel yang berlarutan.

Bercakap lebih lanjut Zaid berkata taktik berita palsu dan ucapan kebencian oleh kerajaan seolah-olah hanyalah untuk menutup niat mereka untuk mengawal platform media sosial.

Beliau menyifatkan kerajaan mahu menjadi pengadil tunggal kebenaran sebelum menggesa Putrajaya menghentikan kempen menimbulkan ketakutan terhadap perbezaan pendapat.

“Jika ini dibenarkan, maka ia akan menjadikan hak untuk kebebasan bersuara, kebebasan asasi yang termaktub di bawah perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan hanya khayalan.

“Hak kebebasan bersuara adalah hak suci yang tidak boleh disekat dengan dakwaan berita palsu atau ucapan benci semata-mata.

“Sekiranya dakwaan sedemikian besar maka sudah ada undang-undang sedia ada yang boleh digunakan terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata kerajaan harus menghentikan kempen ketakutannya dan menghentikan sebarang rancangan untuk memperkenalkan lebih banyak undang-undang atau peraturan atau mengenakan tekanan kerajaan yang tidak wajar ke atas platform media sosial yang menyekat kebebasan bersuara. – 13 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen