Ketua penerangan Bersatu mengaku tidak bersalah menghasut


Razali Idris yang juga Adun Kijal menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRK Kemaman, 10 November lepas. – Gambar Facebook, 24 November, 2023.

ADUN Kijal Razali Idris dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal oleh kerajaan semasa berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 10 November lepas.

Razali, 57, yang juga ketua penerangan Bersatu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

“Saya mengaku tidak bersalah dan saya bersedia untuk dibicarakan,” katanya yang berbaju Melayu berwarna merah dan kelihatan tenang.

Tertuduh didakwa menyebut perkataan menghasut itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu antara 9.30 malam sehingga 11.30 malam pada 10 November lepas.

Razali yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Terengganu didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Razali diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak membuat sebarang hantaran atau komen berhubung kes ini sehingga selesai dan menetapkan 8 Disember untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Kalmizah Salleh menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tersebut.

Peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum RM1,000 selain tidak membantah syarat tambahan, namun ia perlu merangkumi orang ramai supaya tiada perbincangan mengenai merit kes itu di luar mahkamah.

“Anak guam saya merupakan ahli Dewan Negara dan juga exco kerajaan negeri Terengganu serta Adun Kijal. Anak guam saya juga mempunyai tanggungjawab kepada rakyat Terengganu dan Malaysia, selain mempunyai seorang isteri yang menghidap sakit jantung.

“Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan oleh pihak berkuasa dan hadir tanpa dipaksa ke mahkamah hari ini untuk menjawab pertuduhan dikemukakan terhadapnya. Dia juga tiada risiko untuk melarikan diri,” kata Hasshahari.

Razali turut diwakili peguam Mohd Sahrilnizam Mohd Amin dan Mohd Radzlan Jalaludin

Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung satu hantaran aplikasi TikTok yang yang dikatakan tidak tepat serta menjejaskan kepercayaan orang awam kepada sistem penguatkuasaan dan perundangan negara.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan bahawa menerusi hantaran dibuat pemilik akaun @WANCIN11 itu, Razali dirakam mengeluarkan beberapa tuduhan palsu. – Bernama, 24 November, 2023.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen