Setahun perintah, janji reformasi jadi 'reformati'?


Alfian Z.M. Tahir Diyana Ibrahim

Anwar Ibrahim semasa jadi ketua pembangkang menentang perdana menteri turut memegang jawatan menteri kewangan kerana ia meningkatkan risiko salah guna kuasa dan penyelewengan berskala besar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 November, 2023.

MASUK setahun Anwar Ibrahim mengemudi kerajaan perpaduan, namun masih banyak janji reformasi yang belum dilunaskan seperti yang beliau laungkan selama ini.

Reformasi institusi, pemansuhan undang-undang drakonian, mengurangkan kos sara hidup dan membanteras rasuah – ini antara yang diikrarkan Anwar sebelum mengangkat sumpah jawatan perdana menteri 24 November tahun lalu.

Begitu juga janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) jika beliau jadi perdana menteri.

Kumpulan hak asasi manusia Suara Rakyat Malaysia (Suaram) berulang kali menggesa kerajaan memansuhkan undang-undang lapuk yang disifatkan sebagai zalim dan menindas itu.

Julai lalu, Anwar dilapor media sebagai berkata penggunaan Akta Hasutan masih diperlukan bagi kes-kes yang menyentuh institusi diraja.

Perdana menteri berkata beliau pada dasarnya mengelak Akta Hasutan digunakan namun ia tidak dapat dielakkan bagi hal-hal yang melibatkan soal kedudukan raja-raja Melayu.

Pakatan Harapan (PH) lantang mendesak supaya undang-undang tersebut dimansuhkan ketika gabungan itu jadi pembangkang.

Berkenaan Sosma pula, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada Februari lalu berkata kerajaan perpaduan tidak berhasrat untuk memansuhkan akta berkenaan sebaliknya akan melaksanakan penambahbaikan.

Kemudian pada Ogos, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh berkata usaha meneliti penambahbaikan Sosma hampir selesai.

Peruntukan membenarkan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan selesai bagi tahanan Sosma adalah antara syor utama yang sedang diteliti, katanya.

Pada masa ini, Seksyen 13 Sosma membenarkan ikat jamin jika pesalah berumur bawah 18 tahun, wanita, sakit atau kurang upaya.

Sosma diperkenalkan pada 22 Jun 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan. ISA dimansuhkan pada 15 September 2011 selepas diperkenalkan pada 1960. 

Kedua-dua undang-undang itu, Sosma dan ISA membenarkan tempoh penahanan yang lama tanpa bicara. Seksyen 4 Sosma membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa bicara di mahkamah manakala tempoh tahanan di bawah ISA menjangkau sehingga 60 hari.

Kebebasan media

Anwar dan PH ketika jadi pembangkang pernah menjanjikan kebebasan media. Bagaimanapun, setelah mengambil alih Putrajaya, beberapa portal berita yang dianggap kritikal terhadap kerajaan diarahkan supaya menurunkan kandungan berita dan dikenakan sekatan.

Tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian dikritik sekumpulan tokoh wartawan dan wartawan kanan.

Sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian sama sekali tidak dapat diterima, kata mereka dalam satu kenyataan. 

Sejak Jun, SKMM dilapor mengenakan sekatan ke atas beberapa portal berita antaranya Malaysianow, Utusan TV dan TV Pertiwi.

Terbaharu, Jabatan Penerangan, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), membatalkan pas media wartawan Harakah pada 8 November lalu selepas lidah rasmi PAS itu menerbitkan artikel yang mengaitkan Anwar dengan Israel.

Tindakan Jabatan Penerangan itu mendapat perhatian Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), yang kemudian menggesa KKD mengkaji semula pembatalan pas media wartawan Harakah serta akreditasi akhbar itu.

NUJM dalam satu kenyataan berkata tindakan itu mesti mengambil kira kebajikan wartawan yang terlibat dalam pembatalan pas media tersebut.

Setelah PH mengambil alih Putrajaya, beberapa portal berita yang dianggap kritikal terhadap kerajaan diarahkan supaya menurunkan kandungan berita dan dikenakan sekatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

Tempoh perkhidmatan PM 

Pada 2018, kerajaan PH ketika itu dibawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad membentangkan rang undang-undang bagi meminda perlembagaan untuk menghadkan perkhidmatan perdana menteri tidak melebihi dua penggal atau 10 tahun.

Melalui pindaan yang dicadangkan itu, seseorang ahli Dewan Rakyat tidak boleh dilantik sebagai perdana menteri jika pernah memegang jawatan tersebut bagi tempoh dua penggal Parlimen. 

Pada Mac 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata kertas dasar berhubung had tempoh khidmat perdana menteri kepada 10 tahun yang sudah diperhalusi akan dibentangkan kepada Kabinet untuk keputusan selanjutnya.

Sehingga kini masih belum ada keputusan mengenai perkara itu.

Portfolio PM dan menteri kewangan

Semasa jadi pembangkang, PH dan Anwar memperjuangkan bahawa perdana menteri tidak turut memegang jawatan menteri kewangan bagi mengelakkan pemusatan kuasa yang meningkatkan risiko salah guna kuasa dan penyelewengan berskala besar kerana tiada semak dan imbang.

Ia bagi mengambil iktibar daripada skandal kewangan besar seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berlaku ketika kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Najib Razak.

Namun, selepas sembilan hari selepas mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Anwar ketika mengumumkan barisan Kabinet kerajaan perpaduan turut umum beliau juga memegang portfolio menteri kewangan.

Keputusan Anwar untuk menerajui Kementerian Kewangan diselar Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin, berkata langkah itu akan menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap kerajaan.

Isu pemusatan kuasa juga dibangkitkan Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin semasa sidang Dewan Rakyat pada Februari lalu.

Kata Radzi, pemimpin PH kini ‘menikus’ apabila ketua mereka pegang dua jawatan serentak iaitu perdana menteri dan menteri kewangan. sama sekali berbeza semasa mereka jadi pembangkang.

Menjawab kritikan terhadapnya, Anwar menegaskan tiada masalah jika seorang perdana menteri turut memegang jawatan menteri kewangan selagi individu berkenaan tidak menggunakan kuasa itu untuk kepentingan diri sendiri.

“Dalam sejarah, sama ada digabungkan atau sebaliknya, tidak ada masalah. Masalahnya adalah individu berkenaan menggunakan kedudukan untuk merombak harta rakyat, ini terpakai dalam banyak kalangan, yang ‘bersih’ di sebelah sini (kerajaan) dan sana (pembangkang) jangan bimbang.

“Yang terpalit dengan rasuah yang harus merasa tertekan dan bimbang, saya bertekad untuk pentadbiran kerajaan perpaduan, saya akan gunakan segala usaha mengelak dan menghalang khianat dari segi rasuah yang berleluasa,” katanya semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Februari lalu. – 23 November, 2023.

Berita penuh di sini
 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen