Berhenti jadi 'abang besar', kata tokoh wartawan kepada SKMM


Tokoh wartawan dan wartawan kanan menggesa SKMM berhenti menjadi "abang besar" yang sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti berhenti jadi “abang besar” yang sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian, kata tokoh wartawan dan wartawan kanan.

Dalam satu kenyataan media mereka menyuarakan kebimbangan dengan tindakan SKMM memanggil pengamal media untuk menjelaskan kandungan yang disiarkan di portal berita.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai “menyinggung” itu hanyalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan dikeluarkan oleh dua Tokoh Wartawan Negara Johan Jaafar dan A Kadir Jasin bersama dua bekas ketua pengarang Bernama Yong Soo Heong dan Zakaria Wahab.

Turut sama ialah bekas pengerusi Karangkraf Hussamuddin Yaacob, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Chamil Wariya dan wartawan kanan G Manimaran.

“Kami sama sekali tidak dapat menerima sebarang percubaan untuk menggunakan agensi kerajaan seperti SKMM untuk menyoal, menapis atau menyekat portal dan kandungan berita dalam talian,” kata mereka.

Sejak Jun lepas, SKMM dilapor mengenakan sekatan ke atas beberapa portal berita antaranya Malaysianow, Utusan TV, dan yang terbaru TV Pertiwi minggu lalu.

Enam tokoh wartawan ini mengingatkan kerajaan hari ini dipilih atas janji kebebasan media namun aduan daripada pengamal media bahawa laman web mereka disekat semakin meningkat.

“Ia adalah trend tidak sihat yang mesti dihentikan serta merta,” kata mereka.

Mereka percaya SKMM mempunyai keutamaan lain, dan menyekat laman web bukan satu daripadanya.

Mereka juga percaya pengamal media adalah individu yang berdisiplin “dipandu oleh profesionalisme dan etika” sementara maklumat salat dan berita palsu pula “sudah sampai pada tahap krisis”.

“Bagaimanapun kami juga percaya peranan yang harus dimainkan oleh media bebas di negara ini.

“Kerajaan mesti memastikan ekosistem yang betul dan persekitaran yang kondusif untuk pengamal media bekerja tanpa rasa takut dan pilih kasih,” kata mereka. – 29 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen