SPRM buat laporan polis berhubung posting TikTok pemimpin Bersatu 


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini membuat laporan polis terhadap satu posting TikTok seorang pemimpin Bersatu yang didakwa memfitnah suruhanjaya itu.

Agensi anti rasuah itu dalam satu kenyataan berkata, pemimpin Bersatu Terengganu Razali Idris membuat beberapa tuduhan palsu terhadapnya dalam klip yang dimuatkan pada aplikasi TikTok di bawah nama akaun @wancin11.

Menurutnya, Razali membuat beberapa tuduhan palsu semasa berucap pada pelancaran jentera pilihan raya kecil Parlimen Kemaman pada 10 November, 2023.

Katanya, Razali menyatakan agensi kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan.

Beliau juga mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam sabitan dan hukuman terhadap Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“SPRM memandang serius fitnah dan dakwaan itu kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap penguatkuasaan dan sistem perundangan negara ini.

“SPRM adalah agensi penguatkuasaan undang-undang yang diberi kuasa untuk menjalankan fungsi dan peranannya dalam memerangi rasuah secara bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

“Justeru, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil segera terhadap mereka yang membuat dan menyebarkan fitnah dan dakwaan sedemikian,” kata suruhanjaya itu. – 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen