Ponteng berjemaah: Pembangkang pinggirkan institusi Parlimen Malaysia? 


Fakhrurrazi Rashid

TINDAKAN ahli Parlimen pembangkang Perikatan Nasional (PN) ponteng berjemaah mesyuarat Dewan Rakyat sesi pagi pada 20 November 2023 bagi menghadiri demonstrasi biasa, menunjukkan kecuaian pembangkang menjalankan tugas hakiki di Parlimen seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Ponteng pembangkang kali ini cukup berat kerana sesi pertanyaan jawab lisan adalah satu amalan atau prosedur utama dalam sistem demokrasi berparlimen bagi menyemak imbang setiap keputusan kerajaan dalam menguruskan pentadbiran negara.

Sesi pertanyaan adalah ibu kepada amalan sistem demokrasi berparlimen di seluruh dunia. Tanpa ‘pertanyaan’ ke atas pihak kerajaan, sudah pasti Parlimen tidak mampu mengangkat prinsip akauntabiliti dan integriti terhadap kerajaan. 

Sikap tidak peduli PN mengganggu kelancaran Dewan Rakyat dan melemahkan lagi fungsi Parlimen.

Pembangkang terlepas peluang untuk bertanyakan soalan dan mendapatkan penjelasan daripada menteri berkenaan isu-isu semasa mewakili rakyat kawasannya. 

Persoalannya, apakah PN menganggap tanggungjawab kepada Parlimen tidak begitu penting berbanding demonstrasi? Apakah begitu sukar untuk hadir ke parlimen bertanya soalan kepada Menteri?

Tidak pernah berlaku 

Sudah menjadi satu kebiasaan buat bahagian pengurusan Dewan Rakyat untuk memberitahu lebih awal kepada ahli parlimen jika soalannya berada di kedudukan 15 teratas dalam Aturan Urusan Mesyuarat (AUM) Dewan Rakyat untuk keesokan harinya. 

Selalunya, pihak parlimen akan menghubungi dan memberitahu ahli parlimen yang mempunyai soalan keesokan harinya setelah AUM tersebut dipaparkan di laman web rasmi parlimen selepas jam 10.00 malam.  

Pada masa yang sama, pengurusan parlimen juga akan mengingatkan pegawai kementerian untuk memastikan Menteri hadir menjawab pertanyaan seperti yang diletakkan berdasarkan AUM. 

Amalan ini bagi memudahkan ahli parlimen menghadiri sesi pertanyaan jawab lisan pada esok harinya, khususnya dalam menyediakan pertanyaan tambahan kepada Menteri. Ini turut memberi peluang kepada pegawai penyelidik ahli parlimen membuat kajian bagi merangka soalan tambahan tersebut. 

Dalam sesi pertanyaan jawab lisan, ahli Parlimen perlu hadir untuk mendapatkan jawaban secara terus daripada menteri.

Mana-mana ahli Parlimen yang tidak boleh hadir atas faktor kecemasan, perlu memberitahu Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) lebih awal agar soalan ahli Parlimen yang tidak hadir itu tidak perlu dibaca di dalam mesyuarat. 

Melihat daripada situasi 20 November lalu, saya percaya, ahli Parlimen yang mempunyai soalan di kedudukan 10 teratas dalam AUM pada 20 November 2023 telah dimaklumkan oleh pengurusan Dewan Rakyat.

Namun, kelihatan seperti pihak pembangkang tidak memaklumkan ketidakhadiran mereka ke Dewan Rakyat kepada pengurusan Parlimen atau YPDR. 

Untuk rekod, ini kali pertama ahli Parlimen pembangkang gagal hadir ke sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menyemak dan mendapatkan penjelasan daripada Jemaah Menteri berkenaan soalan yang dikemukakan. 

Pembangkang anti-demokrasi?

Hujah defensif pembangkang yang cuba mengalihkan kesalahan kepada ketidakhadiran menteri ke Parlimen adalah satu perbandingan yang tidak masuk akal. 

Jika pembangkang mengkritik menteri yang tidak bersedia atau tidak hadir menjawab sesi pertanyaan lisan, pendirian yang sama sepatutnya dirasai ahli parlimen pembangkang yang ponteng sesi pertanyaan di parlimen.  

Sikap ahli parlimen pembangkang yang tidak sensitif akan tanggungjawab kepada Parlimen turut membangkitkan persoalan penting – adakah pembangkang PAS dan PN melihat diri mereka lebih besar daripada institusi Parlimen itu sendiri? 

Hakikatnya, sikap PAS dan PN yang tidak menghormati institusi Parlimen sebenarnya tidak pernah berubah sejak krisis Covid-19 sehingga pasca PRU 15. 

Setiap parti politik, pemimpin, dan rakyat harus memahami bahawa pendirian meminggirkan peranan parlimen akan membawa kepada krisis pentadbiran negara yang agak serius.

Ia juga akan melahirkan pemimpin dan kerajaan yang cenderung kepada pemerintahan autokrasi, anti-demokrasi dan meminggirkan suara rakyat terbanyak.  

Kita harus belajar daripada episod hitam yang menimpa Parlimen setelah fungsinya dibungkam kerajaan Muhyiddin Yassin sewaktu pandemik.

Sikap autokratik ini menyebabkan kelemahan, ketirisan, dan pemborosan perbelanjaan wang rakyat berlaku secara berleluasa kerana tiada pengawasan yang rapi daripada institusi parlimen.  

Kini, pendirian pembangkang memainkan politik sentimen dan agama meletakkan kualiti perbahasan parlimen di tahap yang tidak memberangsangkan.

Kandungan perbahasan pembangkang telah menajamkan perbezaan berbanding perpaduan dalam kalangan rakyat.  

Apa agenda pembangkang tahun kedua?

Agak mengecewakan melihat ahli parlimen pembangkang membangkitkan persoalan tidak masuk akal dan remeh seperti pertanyaan ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal yang bertanyakan pendirian kerajaan dalam isu konsert Coldplay yang dianjurkan ketika konflik Palestin-Israel masih belum tamat.  

Sedangkan, sesi pertanyaan dengan Perdana Menteri itu boleh digunakan untuk mengemukakan penjelasan kepada dasar dan keputusan kerajaan dalam perkara yang lebih signifikan seperti prestasi ekonomi dan pelaksanaan dasar yang sedang diusahakan kerajaan bagi memulihkan kehidupan rakyat Malaysia.  

Demokrasi Malaysia menanggung kerugian besar apabila mempunyai blok pembangkang yang sombong dan tidak memandang serius tanggungjawab di Parlimen Pendirian dan kualiti PN di Parlimen tidak menggambarkan mereka berpengalaman dalam mentadbir Putrajaya. 

Kedangkalan pembangkang ini boleh menambah defisit kepercayaan rakyat ke atas fungsi sebenar institusi parlimen. Mungkin, ia membentuk satu kelompok yang tidak lagi mempercayai sistem demokrasi berparlimen dan sanggup memanipulasi Parlimen disebabkan semangat politik kepartian yang melampau tanpa sempadan.

Reformasi Parlimen juga tidak bermakna jika ahli Parlimen pembangkang terus menyampaikan mesej perpecahan di dalam dan luar Parlimen.  

Masuk tahun kedua pasca PRU 15, PN mempunyai tugas besar untuk menonjolkan diri mereka sebagai alternatif untuk mentadbir Putrajaya pada PRU 16 atas kemampuan mereka merencana dasar yang lebih baik. 

Lebih baik mereka tonjolkan dasar alternatif dan kemampuan membahaskan isu dengan efektif, bukan sekadar menunggang isu populis agama dan kaum, dengan kepercayaan boleh kembali ke Putrajaya dengan mudah. – 22 November, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen