Hamas berjaya Zionis kalah


Hishamuddin Rais

Satu lagi petanda awal tentang kekalahan Zionis Israel ialah berubahnya pandangan warga dunia tentang penjajahan Palestin oleh Israel. – Gambar AFP, 16 November, 2023.

KETIKA tulisan ini digarap perang Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 kini memasuki hari ke-40. Di awal bentrokan soldadu Zionis Israel selama lebih dari tiga minggu mengepung Gaza sebelum berani masuk menyerang. Ketika Gaza dikepung serangan bom bertalu-talu datang dari udara.

Kini soldadu Zionis masuk menyerang ke jantung Kota Gaza. Pasukan darat masuk dengan bantuan kereta kebal, kereta perisai dan peralatan senjata yang terkini dan tercanggih.

Sasaran awal ialah Utara Gaza. 

Wilayah kota Gaza bahagian utara ini menjadi sasaran kerana dari laporan intel di bawah salah satu dari ratusan bangunan dalam kota ini ada terowong yang menjadi ibu pejabat Briged Al-Qassam.

Mengikut laporan intip Zionis Israel terdapat 1,300 terowong. Jumlah panjangnya lebih 300 batu. Bayangkan Semenanjung Gaza yang hanya 25 batu panjang dan antara 3.7 ke 7.5 batu lebar. Ini bermakna seluruh Gaza berselirat dilingkari oleh terowong yang dalamnya lebih dari 200 kaki.

Terowong ini mula digali sejak 2007 bilamana Zionis Israel memulakan sekatan dan kepungan ke atas Gaza.

Seyogia diberitahu Hamas ialah sebuah parti politik. Pada 2006 Hamas menang pilihan raya dalam perebutan 132 kerusi Dewan Parlimen Palestin. Hamas mendapat 76 kerusi manakala Fatah mendapat 43. Hamas dengan sokongan rakyat menjadi pentadbir Semenanjung Gaza.

Zionis Israel pada mulanya bermain mata dengan Hamas. Ini bertujuan untuk pecah perintah. Hamas digaduhkan dengan Al-Fatah. Tetapi kini Zionis Israel sedang bermati-matian berusaha untuk menghancurkan Hamas.

Sebagai sebuah parti politik yang mentadbir Gaza, Hamas mendirikan pasukan gerila yang dikenal di seluruh dunia sebagai Al-Qassam Briged. Ia mengambil nama Izz ad-Din Abd al-Qadar ibn Mustafa ibn Yusuf ibn Muhammad al-Qassam (1882-1935).

Sosok ini berasal dari Syria. Seorang imam dan pemimpin gerakan nasionalis Arab yang bangun melawan kuasa kolonial Inggeris dan Perancis di wilayah Syria, Lubnan dan Palestin pada era 20-an dan 30-an.

Izz ad-Din pejuang nasionalis ini mati ditembak pada 20 November, 1935.

Diplomat Inggeris Alister Crooke yang juga pegawai tinggi dalam MI6 – lembaga risik Inggeris –ditemu bual dalam podcast Judging Freedom. Podcast ini muncul dalam YouTube pada 9 November, 2023.

Diplomat Alister Crooke ini menyatakan terowong di Gaza ini lengkap dengan talian elektrik dan laluan udara. Terowong ini juga lengkap dengan alat komunikasi. Terowong ini ada dewan mesyuarat. Malah lengkap dengan klinik dan hospital.

Terowong ini didirikan hasil daripada mengumpul pengalaman. Belajar berperang melalui perang.

Hamas melihat Zionis Israel hanya akan menggunakan bom dari udara bila menyerang. Zionis Israel sedaya upaya akan mengelak soldadunya dari berhadapan dengan gerila Hamas.

Justeru terowong dibuat untuk gerila menyelamatkan diri daripada kena ledakan bom dari udara. Terowong sebagai satu strategi militer bukan perkara baru. Kerajaan Rom Kuno dan kerajaan Parsi menggunakan terowong sebagai taktik serang menyerang.

Terowong ini juga digunakan sebagai laluan untuk mematahkan sekatan dan kepungan Zionis Israel. Barang makanan, barang keperluan apa sahaja dan juga senjata diseludup masuk melalui terowong.

Terowong ini memainkan peranan militer dan peranan ekonomi.

Paling menarik juga ialah terowong gerila Vietcong ketika Perang Vietnam (1955-1975 ). Terowong gerila pembebasan Vietnam ini terletak 40 kilometer jauhnya dari kota Saigon – nama lama Kota Ho Chi Minh. Terowong ini menjadi benteng pertahanan yang amat kukuh dalam usaha gerila Vietkong untuk menawan Saigon ibu kota Vietnam Selatan.

Malah Parti Komunis Malaya (PKM) juga ada menggunakan taktik terowong di sempadan Tanah Melayu dengan Siam ketika berjuang melawan Inggeris.

Kini terowong di Vietnam dan terowong milik PKM menjadi bahan sejarah dan tarikan pelancong.

Mari kita segarkan ingatan. Tujuan Zionis Israel menyerang Gaza ini adalah untuk membalas serangan Hamas yang berlaku pada subuh Sabtu 7 Oktober lalu.

Zionis Israel juga berniat untuk menghapuskan Hamas. Zionis Israel juga mahu menghalau warga Gaza keluar dari bumi tanah air mereka. Ini sama seperti yang mereka lakukan pada 1948.

Nakba – malapetaka – di mana Arab Palestin dibunuh, air perigi minuman diracun dan ramai ditawan dan diseksa. Semua ini adalah taktik untuk menakutkan Arab Palestin agar mereka meninggalkan bumi Palestin dan mencari perlindungan di Jordan, Lubnan, Mesir atau Syria.

Kali ini Netanyahu mahu melakukan Nakba 2.  Zionis Israel mahu menghalau kesemua Arab Palestin keluar dari tanah air mereka. Kali ini dengan bom dari udara dan peluru dari kereta kebal.

Ketika tulisan ini digarap harian The Guardian London pada 14 November, 2023 melaporkan seperti berikut:

Tentera Israel sampai ke pintu masuk hospital terbesar di Gaza di mana ratusan pesakit, termasuk berpuluh-puluh bayi, masih terperangkap di dalamnya. Beribu-ribu orang melarikan diri dari hospital al-Shifa di Kota Gaza. Tetapi masih ramai pesakit di dalam hospital ini.

Sekurang-kurangnya 11,240 rakyat Palestin terbunuh, termasuk 4,630 kanak-kanak dan 3,130 wanita di Gaza mati dibunuh oleh tentera Israel sejak 7 Oktober. Ini kenyataan dari kementerian kesihatan Palestin pada Isnin 13 November.

Apakah Zionis Israel sudah menang?

Betul Gaza hancur lebur. Ramai Arab Palestin gugur. Rumah kediaman runtuh. Binatang ternakan mati. Tapi hakikatnya Israel kalah.

Ada beberapa tanda yang menunjukkan Zionis Israel kalah. Masuk hari ke-40 gerila Hamas masih tetap menyerang. Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant mengumumkan pertahanan Hamas hancur musnah. Ramai pejuang Hamas tewas.

Hamas menjawab kenyataan menteri perang dengan tembakan roket ke Tel Aviv. Amin.

Laporan berita di media sosial menyebut puluhan malah ratusan kereta kebal dan kereta perisai Israel diletupkan.

Soldadu Zionis masuk ke dalam kota Gaza untuk mencari gerila Hamas. Daripada hukum perang – soldadu yang mencari lebih dalam keadaan bahaya dari gerila yang dicari. Dalam runtuhan bangunan seorang gerila boleh membedil sebuah kereta kebal Markava 4M dengan RPG (Rocket-propelled-granade) yang hanya tersangkut di bahunya.

Markava 4M berharga AS$3.5 juta sebuah. Manakala senapang RPG-7s berharga AS$500 dan pelurunya berharga AS$100 sebutir.

Dengan sebutir peluru AS$100 boleh memusnahkan kereta kebal yang bernilai AS$3.5 juta.

Ini hukum perang gerila bandar. Belanjawan murah dan amat berbaloi. Yang mencari-cari akan menjadi mangsa serang hendap oleh gerila.

Gerila Hamas akan muncul dari terowong dan menembak curi dan kembali menghilangkan diri masuk ke dalam terowong. Babak seperti ini pernah dipaparkan dalam Tik Tok di mana soldadu Israel menganggap mereka sedang melawan hantu yang hilang lesap selepas menembak curi.

Betul lagi benar soldadu Israel memiliki senjata tercanggih dan terkini. Betul dan benar Israel mengumpulkan seramai 300,000 bala tentera.

Manakala Hamas hanya ada antara 30,000 ke 40,000 pasukan bersenjata. Ada bersama Hamas 8,000 gerila Islamik Jihad. Mereka bekerjasama dalam Perikatan Pasukan Palestin Paksi Penentangan.

Nisbahnya seorang gerila Al-Qassam berhadapan dengan 100 soldadu Israel.

Data dari International Institute of Strategic Studies yang keluar pada 15 Februari, 2023 menunjukkan soldadu tetap tentera Israel hanya berjumlah 169,500 manakala soldadu simpanan berjumlah 495,000.

Israel mengamalkan sistem wajib tentera. Setiap warga – lelaki dan wanita – yang mencapai umur 17 wajib masuk jadi soldadu selama 24 ke 34 bulan.

Justeru jumlah 300,000 soldadu yang mengepung Gaza majoritinya adalah soldadu simpanan.  Sebelum Sabtu 7 Oktober, 2023 mereka mungkin bekerja di pejabat, mungkin cikgu sekolah, mungkin membuat perniagaan sendiri, mungkin kerani pejabat, mungkin sedang menyambung belajar – hakikatnya mereka diwajibkan melawan Hamas.

Ini bukan sahaja bermakna mereka tidak berminat untuk jadi soldadu sepenuh masa malah mereka  mungkin bukan penyokong Netanyahu. Paling menonjol mereka tidak ada pengalaman berperang. 

Justeru kita mula terbaca berita dalam media sosial bagaimana mereka menjadi ulam kepada gerila Hamas yang lincah dan berpuluh kali bertempur.

“Israel wajib berhati-hati… Hamas memasang perangkap yang bertahun tahun disediakan…’”  Ini petikan kata-kata General Vincent Desportes seorang profesor strategi di Sciences Po Universiti dan juga Pengarah Sekolah Perang Perancis.

Temubual dalam stesen TV France24 ini muncul pada 1 November lalu.

General ini juga memberi gambaran tentang taktik gerila bandar. Bagaimana gerila Hamas boleh muncul dari belakang dan menembak mati sembilan soldadu Zionis.

Mengikut pakar perang ini soldadu Israel tidak mungkin dengan cepat akan berjaya menumpaskan Hamas.

“Perang ini akan berlanjutan… Apa yang dirancang oleh Hamas ialah pertempuran mandi darah seperti pertempuran Dien Bien Pho… Bila mana akan memeranjat warga Israel… Ramai soldadu Israel mati… Ini mengubah pandangan mereka… Cukup, cukup… Hentikan perang…”

General ini merujuk ke Pertempuran Dien Bien Pho yang berlaku di Vietnam dari 13 Mac, 1953  hingga 17 April, 1953 bila soldadu Perancis dipukul teruk oleh gerila Vietnam. Perancis akhirnya mengaku kalah dan pertempuran ini mengubah landskap politik Vietnam.

Satu lagi petanda awal tentang kekalahan Zionis Israel ialah berubahnya pandangan warga dunia tentang penjajahan Palestin oleh Israel.

Seluruh dunia dari kota kecil ke kota besar – dari Melbourne ke Kuala Lumpur ke Karachi, ke Tehran, ke Istanbul, ke Paris, ke Brussels, ke Amsterdam, ke London, ke Toronto, ke New New York, ke Santiago – orang ramai turun ke jalan raya.

Warga dunia anak segala bangsa sedang bersetiakawan dengan perjuangan Palestin. Semua menuntut pengeboman ke atas Gaza dihentikan. Bantuan dihantar.

Dunia kini melihat bagaimana Zionis Israel sedang menjalankan genosid. Pembunuhan beramai-ramai ini bertujuan untuk memastikan seluruh bumi Palestin akan di-Yahudikan.

Negara Arab dan 57 kepala negara dan pemimpin negara Islam dalam Pertubuhan Negara Islam bersidang di Riyadh Arab Saudi pada 11 November, 2023. Mereka seia sekata menuntut perang ditamatkan. Bantuan dihantar segera.

Pada 11 November di hari yang sama 800,000 anak semua bangsa – bangsa semua agama berhimpun di kota London. Ini satu perhimpunan paling bersejarah dan paling besar yang pernah berlaku di London.

Pandangan warga dunia kini berubah. Ini tanda sah Zionis Israel kalah. Ini kejayaan Hamas mengubah pandangan dunia terhadap perjuangan Palestin.

Perang Ramadan pada 6 Oktober, 1973 membuka ke Perjanjian Camp David. Intifada Pertama bermula pada 9 Disember, 1987 hingga 13 September, 1993. Intifada Kedua bermula pada 28 September, 2000 hingga ke 8 Februari, 2005. Dua Intifada ini membuka Perjanjian Olso.

Kini Perang Hamas yang bermula pada 7 Oktober, 2023 dan masih berjalan. Perang ini pasti akan mengubah landskap politik Palestin dan politik Timur Tengah.

Jangan sesekali kita lupa perang Gaza ini juga sedang mengubah politik dunia. Apakah perang Gaza ini akan merebak? Untuk jawapan tunggu minggu hadapan. Amin. – 16 November, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen