Setahun lepas PRU15, semangat dwipartisan hilang


Fakhrurrazi Rashid

19 November 2022 adalah hari paling membingungkan rakyat Malaysia. Persaingan politik yang berlaku secara sengit telah menghasilkan suatu keputusan yang janggal dalam politik Malaysia, yakni situasi parlimen tergantung kerana tidak ada satu gabungan parti politik boleh membentuk kerajaan pusat dan negeri secara kendiri.
 
Episod ini bertambah bingung apabila Barisan Nasional (BN) yang sering dimomokkan Pakatan Harapan (PH) atas imej korup dan rasuah, akhirnya bersetuju membentuk kerajaan pusat dengan hujah menyambut titah Yang Di-Pertuan Agong menubuhkan kerajaan perpaduan demi kepentingan rakyat dengan mengenepikan ideologi politik.
 
Di mata ahli politik PH-BN, kerjasama ini adalah satu rahmah untuk parti politik menyatukan rakyat pasca Covid-19 dan krisis ekonomi yang menghimpit periuk nasi rakyat. Tetapi, kebanyakan rakyat dan penyokong kedua-dua parti masih kaku dan sukar menerima senario baharu ini walaupun sudah mencapai setahun pentadbirannya.

Kini, tindakan kerajaan perpaduan yang terbuka menerima sokongan empat orang ahli parlimen pembangkang dengan balasan mendapat peruntukan kawasan telah menimbulkan kebimbangan orang awam sekiranya penyakit tukar kerajaan dan parti ini akan berulang sekali lagi.

Kestabilan politik kabur

Meskipun terdapat kelompongan dalam mengatasi budaya menukar parti politik dalam kalangan wakil rakyat, kesempatan ini tidak seharusnya digunakan kerajaan memandangkan mereka mempunyai jumlah kerusi terbesar di Dewan Rakyat. Pendirian ini seolah-olah menunjukkan keterdesakan kerajaan mengukuhkan sokongan dengan memikirkan prinsip akauntabiliti dan mandat rakyat.

Pembangkang Perikatan Nasional (PN) terus berpolemik tentang isu peruntukan kawasan dengan mempersoalkan sikap hipokrit perdana menteri yang dahulunya lantang memperjuangkan reformasi politik dan institusi.

Mesej perpecahan yang menajamkan pertembungan agama, kaum, dan fahaman politik terus diangkat PN atas sikap sombongnya untuk mengambil alih Putrajaya dengan apa cara sekalipun tanpa mengambil kira kepentingan negara dan rakyat terbanyak.

Masalah-masalah ini telah membawa satu konklusi mudah – kestabilan politik Malaysia masih kabur pasca-PRU15. Jurang kefahaman kenegaraan, agama, dan kaum semakin melebar. Krisis pandemik, politik, dan ekonomi sejak 2020 dilihat tidak memberi sebarang pengajaran kepada pemimpin negara untuk berubah dan menjadi lebih matang.

Persoalannya, apakah punca polemik ini masih berlarutan? Apakah kekurangan jelas terlihat dalam sistem politik negara setelah setahun berlalunya PRU15?

Semangat dwipartisan terhakis

Pasca-PRU15 menyaksikan kelunturan semangat dwipartisan antara kerajaan dan pembangkang kian serius. Perebutan kuasa dan usaha ingin menjatuhkan kerajaan pusat masih lagi kedengaran selepas setahun rakyat membuat pilihan pada PRU15.

Situasi ini cukup berbeza dengan pandemik dan krisis politik pasca Langkah Sheraton yang menyaksikan aktor politik menonjolkan kebersamaan dalam beberapa perkara atas kepentingan rakyat melangkaui fahaman politik kepartian.

Semangat ini telah melahirkan lembaran baharu buat politik negara dengan adanya Perjanjian Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Ismail Sabri Yaakob dan PH sebagai blok pembangkang pada 13 September 2021.

MoU yang berasaskan Konsep Perjanjian Pembekalan dan Keyakinan (CSA) telah memperkukuhkan reformasi institusi, termasuklah pindaan perlembagaan persekutuan bagi menghalang ahli parlimen melompat parti juga berjaya diluluskan disebabkan MoU ini. Malah, wakil rakyat pembangkang, tidak kira pusat dan negeri, turut mendapat peruntukan kawasan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.  

Ada segelintir pihak menyatakan semangat dwipartisan tidak wujud apabila kerajaan memperoleh majoriti dua pertiga di dalam badan perundangan. Namun, perkara ini tidak semestinya tepat kerana kestabilan kerajaan perpaduan boleh tergugat sekiranya beberapa ahli parlimen dan parti komponen kerajaan menarik diri pada bila-bila masa.

Logiknya, jika ahli parlimen pembangkang boleh mengalih sokongan kepada perdana menteri untuk mendapat peruntukan, tidak mustahil ada ahli parlimen kerajaan melakukan perkara yang sama untuk menarik kepercayaan terhadap perdana menteri dengan habuan jawatan dalam kerajaan.  

Kerajaan perpaduan sekurang-kurangnya boleh mencontohi semangat dwipartisan yang diamalkan kerajaan negeri Johor ketika ini, Ahli Dewan Negeri (Adun) pembangkang (atau dipanggil penimbang) terus diberikan peruntukan kawasan oleh kerajaan Johor untuk meringankan beban Adun penimbang dalam menguruskan pejabat dan berkhidmat di kawasan masing-masing.  

Peruntukan kepada Adun penimbang Johor termasuklah peruntukan pengurusan pejabat, peruntukan perayaan, projek kecil, dan bantuan kecemasan kepada rakyat yang memerlukan.

Keputusan ini amat wajar memandangkan kos sewaan pejabat Adun kian meningkat dan sebagai satu usaha untuk mengekalkan gaji kakitangan pusat khidmat di tahap yang setimpal. Bukankah ini satu kaedah yang boleh diambil sebagai contoh terbaik dalam mengatasi isu peruntukan pembangkang di peringkat pusat?

Kegagalan kerajaan perpaduan dan pembangkang mencapai kata sepakat dalam soal peruntukan kawasan telah menjadi faktor pertembungan politik kedua-dua belah pihak kian tajam. Pembangkang terus berkeras dengan kerajaan sehingga sukar mencapai kesepakatan dalam beberapa isu dasar dan semasa, termasuklah solidariti memperjuangkan kebebasan Palestin yang dipecah-pecahkan mengikut sokongan parti politik masing-masing.

Dwipartisan demi kestabilan negara

Dalam mengambil kira cabaran politik dunia dan kedudukan ekonomi rakyat yang kian terbeban, amat wajar sekiranya pihak kerajaan dan pembangkang berusaha mengembalikan semangat dwipartisan demi kestabilan dan perpaduan negara.

Kerajaan perpaduan perlu menonjolkan sikap terbuka dan berjiwa besar dengan melaksanakan kerjasama dwipartisan melalui reformasi institusi yang boleh melihat blok pembangkang sebagai rakan strategik dalam pentadbiran negara. Lebih baik kekal meneraju negara atas kejayaan mengubah nasib rakyat daripada mengalih sokongan pembangkang di Parlimen.  

Pembangkang juga perlu kembali kepada tugas hakiki dengan memberi kritikan konstruktif kepada kerajaan tentang isu dan dasar difikirkan perlu ditambah baik demi kebaikan rakyat, bukan bergantung kepada isu sentimen emosi yang cuba menjauhkan peranan agama dan negara yang boleh menjejaskan nilai perpaduan dalam masyarakat.

Jika kerajaan-pembangkang berusaha memperkukuh kerjasama dwipartisan, sudah pasti Malaysia akan lebih berdaya tahan dalam mengharungi cabaran yang tidak menentu dalam tempoh satu penggal. Sebaliknya, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat akan terus berada di jalan buntu  jika kerajaan perpaduan dan pembangkang terus bertelagah demi mendapatkan kuasa di Putrajaya.  – 16 November, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen