Nafi terima sogokan, ahli Parlimen Bersatu mahu fail saman


AHLI Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan perpaduan, Mohd Azizi Abu Naim berkata beliau akan menyaman ketua penerangan parti itu kerana memfitnah, lapor Malaysiakini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu dilaporkan berkata beliau akan menyaman Razali Idris kerana mendakwa beliau disogok untuk mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bertentangan dengan pendirian pembangkang.

Mohd Azizi yang menafikan ditawarkan sebarang suapan untuk menukar sokongan berkata tuduhan Razali adalah fitnah.

“Perkara ini tak betul dan fitnah yang paling teruk.

“Saya akan failkan saman kepadanya (Razali) yang telah membuat kenyataan menuduh saya ada terima sogokan,” katanya dipetik portal berita itu.

Mohd Azizi adalah salah seorang daripada empat ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan kerajaan perpaduan sebagai balasan kepada dana pembangunan kawasan mereka. Bagaimanapun mereka kekal sebagai ahli Bersatu kerana mereka tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Tiga lagi ahli Parlimen yang turut bertindak sama ialah Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Zahari Kechik (Jeli).

Pada 11 November Razali mendakwa terdapat unsur rasuah yang terlibat dalam mendorong empat ahli Parlimen Bersatu untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

“Dalam kes mereka, kami percaya ada dorongan… Kami sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang termasuk membuat laporan kepada SPRM,” kata Razali.

Sebelum ini Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga berkata Mohd Azizi memaklumkan kepada parti tentang bantuan yang dijanjikan untuk menyokong Anwar tetapi beliau enggan melakukannya.

“Tetapi selepas tiga hari dia menyatakan sokongannya (untuk Anwar). Kami mengesyaki ada sesuatu yang sedang berlaku yang melanggar peraturan,” kata Muhyiddin.

Bekas perdana menteri itu berkata dalam kes Iskandar, ugutan digunakan.

Ketua Penerangan Bersatu Kelantan Bahari Mohamad Nor juga mendakwa Mohd Azizi berkata seorang broker politik membuat tawaran kewangan yang murah hati dan faedah lain untuk ahli Parlimen pembangkang yang mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Bagaimanapun Azizi menafikan dakwaan itu dan berkata beliau akan menangani tuduhan itu dalam satu kenyataan tidak lama lagi.

“Pengerusi negeri memutar belitkan kata-kata saya. Saya ada cakap lain, tetapi mereka membuat tafsiran berbeza,” katanya.

Semalam Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa terdapat dua individu yang bertanggungjawab menarik ahli Parlimen pembangkang, iaitu seorang “Datuk Botak” dan bekas setiausaha politik Anwar Farhash Wafa Salvador.

Bagaimanapun Farhash menafikan dakwaan sedemikian dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Wan Fayshal.

Bersatu menggantung Iskandar selama empat tahun dan Suhaili selama enam tahun. Keputusan dua lagi ahli Parlimen dijangka dibuat tidak lama lagi. – 15 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen