Dr Mahathir, 2 lagi diarah fail pembelaan kes saman Halim Saad


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain diarah memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 6 Oktober ini dalam kes saman dikemukakan ahli perniagaan Halim Saad berkiat saham Renong Bhd. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan dua pihak lain memfailkan pernyataan pembelaan mereka pada atau sebelum 6 Oktober ini dalam kes saman dikemukakan ahli perniagaan Halim Saad.

Selain Dr Mahathir, turut dinamakan sebagai defendan ialah bekas menteri kewangan II Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan.

Pada 2 Ogos lepas, Halim, bekas pengerusi eksekutif Renong Berhad, memfailkan saman itu bagi menuntut pampasan berhubung kerugian dialaminya selepas pengambilalihan saham Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan, hampir 23 tahun lalu.

Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman yang mewakili ketiga-tiga defendan berkata mahkamah turut mengarahkan plaintif (Halim) memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut sebelum atau pada 23 Oktober ini.

“Mahkamah menetapkan 20 November ini untuk pengurusan kes selanjutnya dan sebarang permohonan interlokutori jika ada perlu difailkan sebelum tarikh itu,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara e-Review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nik Nur Amalina Mat Zaidan, hari ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim, yang juga bekas pengarah Renong Berhad, berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM ebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah. 

“Saya juga diarahkan agar keluar daripada UEM dan Renong sebagai pemegang saham, dan juga pengarah termasuk anak-anak syarikat dua syarikat itu. Ini mewajibkan saya untuk menyerahkan kawalan ke atas Renong dan UEM kepada kerajaan, dan selanjutnya melupuskan saham Renong milik saya dengan kerugian,” dakwanya dalam pernyataan tuntutan itu.

Halim mendakwa Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6% saham Renong.

Oleh itu, Halim, antaranya, memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Pada 2013, Halim memfailkan tuntutan saman RM1.8 bilion terhadap kerajaan, Khazanah dan Nor Mohamed selepas mendakwa beliau ditipu.

Bagaimanapun saman itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan beliau juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan pada 2015. – Bernama, 13 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen