Mahkamah Tinggi tolak permohonan Dr Mahathir arah Anwar kemuka dokumen


Permohonan Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan perintah mengarahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dikaitkan dengan saman fitnah RM150 juta ditolak oleh Mahkamah Tinggi hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan perintah mengarahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengemukakan dokumen yang dikaitkan dengan saman fitnah RM150 juta.

Bekas perdana menteri itu meminta dokumen mengenai dakwaan isu menyelamatkan Konsortium Perkapalan Bhd (KPB) oleh Petronas dan Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) pada 1997.

Free Malaysia Today melaporkan peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr Mahathir berkata Pesuruhjaya Kehakiman Zaharah Hussain menolak permohonan itu.

Beliau berkata ia dilakukan atas alasan peristiwa yang dipetik oleh Anwar dalam kenyataan pembelaannya berlaku bertahun-tahun lalu dan tidak direkodkan dalam mana-mana dokumen.

“Jika ada sebarang dokumen, ia akan menjadi sebahagian daripada pembelaan defendan (Anwar) dan beliau perlu mengemukakannya semasa pengurusan kes pra-perbicaraan nanti,” katanya.

Dr Mahathir juga sedang mendapatkan dokumen berkaitan pemberian kontrak oleh Telekom Malaysia Bhd kepada Opcom Cables Sdn Bhd pada 2003 dan lesen fabrikasi oleh Petronas kepada Kencana Petroleum Bhd pada 2002.

Beliau juga meminta Anwar mengemukakan laporan berkaitan permintaan Perwaja Steel Bhd untuk mendapatkan dana daripada kerajaan pada 1998 serta dokumen berkaitan yuran guaman yang dibayar kepada dua firma guaman – Lewis & Co dan VK Lingam & Co.

Mahkamah menetapkan 3 November untuk pengurusan kes.

Pada Mei Dr Mahathir memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Beliau mendakwa tuduhan Anwar yang dibuat atas kapasitinya sebagai perdana menteri mempunyai kesan yang jauh lebih dahsyat ke atasnya berbanding kenyataan serupa yang dibuat oleh rakyat biasa.

Dr Mahathir menuntut RM50 juta sebagai ganti rugi am dan RM100 juta lagi sebagai ganti rugi teladan.

Pada 7 April Anwar berkata beliau akan mengemukakan bukti Dr Mahathir memperkayakan dirinya dan keluarganya semasa berkuasa.

Ini berlaku selepas Dr Mahathir mengeluarkan surat tuntutan kepadanya pada 27 Mac. – 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen