Ahli Parlimen Gua Musang umum sokong Anwar


Ahli Parlimen Gua Musang Azizi Abu Naim berkata beliau memutuskan untuk menyokong pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim demi kawasan Parlimennya.– Gambar tangkap layar, 7 November, 2023.

AHLI Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional menyatakan sokongannya terhadap kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim.

Ini menjadikan beliau yang juga ketua Bersatu Gua Musang sebagai ahli Parlimen ketiga yang berbuat demikian. 

Sokongan itu dinyatakan secara rasmi menerusi kenyataan media yang dimuat naik di laman sosial.

Menurutnya beliau memutuskan untuk menyokong pentadbiran kerajaan perpaduan demi kawasan Parlimennya.

“Keputusan saya ini adalah bertujuan untuk memastikan kebajikan penduduk di Parlimen saya terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan mengutamakan kebajikan rakyat negara ini sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Pengumuman Azizi itu dibuat beberapa jam selepas Bersatu menggantung Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman selama enam tahun selepas menyokong pentadbiran Anwar atas alasan yang sama. – 7 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen