Bersatu akan lapor polis, SPRM berkait sokongan ahli Parlimen kepada Anwar


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata parti itu sudah mengumpul bukti empat ahli parlimennya diugut dan ditawarkan habuan supaya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

BERSATU akan melaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh sehari dua ini berkait sokongan empat ahli parlimennya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Presidennya Muhyiddin Yassin pada sidang media malam tadi berkata parti itu sudah mengumpul bukti ahli-ahli Parlimen berkenaan diugut dan ditawarkan habuan supaya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

“Kita akan buat laporan polis dalam tempoh sehari dua. Semua maklumat telah dikumpulkan contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

“Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu Mesyuarat Bersatu Kelantan bahawa dia mendapat tawaran tetapi menolak semuanya. Tiga hari selepas itu, dia umum keputusan dia sokong sana (kerajaan perpaduan) dan kita suspek ada perkara yang sedang berlaku, yang melanggar peruntukan undang-undang.

“Macam juga kes (ahli Parlimen) Kuala Kangsar jelas ada disebutkan dalam laporan itu tarikh-tarikh bila mana pihak tertentu yang melibatkan tauke berpangkat Tan Sri pergi jumpa, ugut kalau tak buat itu (sokong) akan dikenakan hukuman oleh SPRM dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Muhyiddin yang juga pengerusi Perikatan Nasional mendakwa wujud elemen intimidasi dan juga pendakwaan untuk mendapatkan sokongan ahli-ahli Parlimen Bersatu.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober isytihar sokongan kepada kepimpinan Anwar, diikuti Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober, dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim pada Selasa. – 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen