Dilema pembangkang berdepan kematangan Yang Dipertua Dewan Rakyat


Fakhrurrazi Rashid

Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dilihat lebih matang dan arif membaca provokasi politik yang dibawa mana-mana ahli Parlimen, termasuk pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2023.

SIDANG media Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin dan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) mengulas pendirian mereka tentang Belanjawan 2024, sehari selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggulung perbahasan peringkat dasar pada Khamis lepas, adalah situasi yang sangat janggal.

Ironinya, sidang media itu lebih sarat dengan kenyataan memburukkan kerajaan dan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat yang didakwa PN berat sebelah dan menghadkan peranan pembangkang.

Sikap dangkal pembangkang lebih terserlah apabila mempersoal Yang Dipertua Dewan Rakyat (YDPR) Johari Abdul atas dakwaan memanipulasi pembangkang dan menjadi penyelamat kepada menteri.

Sehinggakan, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan seperti merendahkan YPDR dengan menyatakan “I think he is the first non-legal background punya speaker (Saya fikir dia YPDR pertama bukan kelulusan undang-undang)”.

Dakwaan ini menunjukkan situasi “mati akal” dan kebingungan pembangkang PN untuk memberi tekanan dan bermain politik dengan YPDR.

Johari dilihat lebih matang dan arif membaca provokasi politik yang dibawa mana-mana ahli Parlimen, termasuk pembangkang, dalam mengganggu perjalanan Dewan Rakyat.

Perlembagaan Persekutuan tidak menetapkan seorang YPDR itu perlu mempunyai kelayakan undang-undang dan bukan datang daripada ahli politik.

Kebanyakan speaker di Parlimen lain seperti United Kingdom (UK), Australia, dan New Zealand adalah terdiri daripada orang politik dan ahli Parlimen itu sendiri.

Tugas hakiki YPDR adalah memastikan urusan mesyuarat Dewan Rakyat dengan tertib dan demokratik.

Tiada sebarang fakta menunjukkan YPDR yang bukan ahli politik adalah orang terbaik dalam menguruskan perjalanan Dewan Rakyat.

Malah, kelemahan YPDR memahami percaturan politik dalam parlimen boleh menjadi punca perjalanan Dewan Rakyat caca marba seperti yang berlaku pada zaman Azhar Azizan Harun.

Saya pernah menulis artikel mengulas keperluan YPDR memahami politik demi mempertahankan fungsi parlimen daripada dimanipulasi ahli Parlimen dan badan eksekutif yang tidak bertanggungjawab. 

Langkah politik tidak boleh dipatahkan jika YPDR hanya bergantung kepada peraturan mesyuarat tanpa mempunyai kemahiran politik dalam mengawal tingkah laku ahli politik itu sendiri.

Pengalaman dan kematangan Johari

Suka atau tidak, perjalanan Dewan Rakyat kali ini agak lebih tersusun di bawah pengendalian Johari sebagai YPDR.

Johari sudah cukup masak dan matang dalam membaca pergerakan dan tekanan daripada pihak pembangkang mahupun backbencher kerajaan dalam mesyuarat Dewan Rakyat.

Inilah satu-satunya YPDR yang banyak terlibat dalam usaha reformasi Parlimen pasca Tsunami Politik 2008 secara perbincangan atau praktikal.

Sebagai rekod, Johari pernah menjadi ketua whip pembangkang, ketua Ahli Parlimen Penyokong Kerajaan (BBC), dan pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Keselamatan.

Ini sama sekali berbeza dengan YPDR terdahulu yang mempunyai kelulusan undang-undang tetapi kurang pengalaman dalam kerja-kerja hakiki Parlimen.

Pengalaman ini membentuk Johari melihat Parlimen sebagai institusi yang lebih besar daripada jalur politik kepartian.

Beliau cukup tegas dalam menangkis kandungan perbahasan dan dakwaan jahat daripada ahli Parlimen yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Lihat sahaja tindakan tegas Johari ke atas Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor yang cuba bermain politik kebencian dengan mengaitkan perhimpunan wanita dengan kumpulan tidak bermoral tanpa mengemukakan asas kukuh.

Wan Razali diarahkan akhirnya menarik balik kenyataan itu kerana beliau sendiri tidak pasti akan hujah yang dikemukakan.

Ketegasan beliau membuat petua melarang penggunaan istilah “kafir” di Dewan Rakyat adalah satu keputusan berani dan tepat bagi menghalang percubaan beberapa ahli Parlimen merosakkan nilai perpaduan kaum yang sudah menjadi tunjang kekuatan Malaysia sejak sekian lama.

Pembangkang harus berubah

Ketua pembangkangg seharusnya sedar, episod merendahkan kemampuan YPDR di luar Dewan Rakyat hanya menunjukkan kecaluran pembangkang dalam membawa idea substantif untuk menyelesaikan isu rakyat kebanyakan.

Untuk mengatakan pembangkang tidak dapat memainkan peranan penting di Dewan Rakyat sekarang juga kurang tepat.

Sebahagian daripada ahli Parlimen pembangkang adalah anggota JPK yang boleh memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga disandang ahli Parlimen pembangkang.

Jadi, apakah asas pembangkang mengatakan mereka dimanipulasi YPDR dalam menjalankan tugas di Parlimen?

Atau pembangkang PN masih tidak faham tentang peranan JPK yang mempunyai kuasa yang besar mempersoalkan akauntabiliti kerajaan?

Pengalaman mentadbir Putrajaya tidak digunakan pembangkang PN dalam menunjukkan kualiti perbahasan dan idea bermutu.

Ada segelintir pembangkang yang memberi idea tidak masuk akal seperti ahli Parlimen Langkawi yang mencadangkan pembinaan MRT Kuah-Alor Setar tanpa membuat penilaian dan kajian berasaskan fakta.  

Agak rugi apabila komitmen perdana menteri untuk hadir ke Dewan Rakyat bagi menjawab setiap pertanyaan ahli Parlimen disia-siakan pihak pembangkang dengan soalan provokasi dan memainkan politik kepartian semata-mata untuk memburukkan parti lawan di platform media sosial.

Fungsi semak dan imbang Parlimen akan dapat diperkasa jika pembangkang PN sedar dan mampu menonjolkan kualiti yang lebih baik di dalam Dewan Rakyat.

Kekuatan pembangkang dalam mempersoal dasar kerajaan secara konstruktif adalah pendekatan efektif mewakili suara rakyat menekan kerajaan untuk melaksanakan dasar lebih baik buat rakyat.

Lebih baik pembangkang cuba keluar daripada kerangka lama dan berjiwa besar dalam melihat peranan Parlimen sebagai rakan strategik dalam pentadbiran negara.

Sekurang-kurangnya, kerjasama dwipartisan ini dapat menimbulkan keyakinan rakyat kepada pembangkang yang kini dilihat lebih tertumpu kepada usaha menggugat kestabilan politik negara dengan provokasi dan mesej sentimen kaum yang amat membimbangkan sama ada  di dalam dan luar Parlimen. – 8 November, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen