New Delhi lanjut tutup sekolah akibat pencemaran asap


Pengguna memandu di sepanjang jalan yang diselubungi asap tebal di New Delhi pada Sabtu. – Gambar AFP, 5 November 2023.

PIHAK berkuasa di New Delhi melanjutkan tempoh penutupan sekolah akibat kecemasan selama seminggu, berikutan tiada tanda pengurangan terhadap pencemaran asap yang berlaku.

Setiap kali musim luruh, New Delhi akan diselubungi asap teruk disebabkan oleh pembakaran tunggul oleh petani di negeri yang berdekatan.

Bandar raya itu kerap disenaraikan sebagai antara paling tercemar di dunia, hingga menyebabkan ratusan ribu kematian pramatang setiap tahun.

Malah, menurut firma pemantau IQAir, New Delhi yang mempunyai populasi 30 juta orang turut sekali lagi disenaraikan sebagai bandar paling tercemar di dunia.

Menteri Pendidikan Delhi, Atishi berkata, memandangkan paras pencemaran terus kekal tinggi, sekolah rendah di Delhi akan ditutup sehingga 10 November ini.

“Sekolah menengah diberi pilihan untuk beralih ke kelas dalam talian,” katanya dalam ciapan di X.

Setiap tahun Delhi juga mengenakan sekatan ke atas aktiviti pembinaan dan mengarahkan beberapa kenderaan keluar dari jalan raya apabila pencemaran mencapai tahap teruk.

New Delhi juga akan menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia Kriket yang berlangsung esok antara Sri Lanka dan Bangladesh tetapi dibatalkan kerana risiko kesihatan.

Paras asap yang teruk dijangka berterusan selama beberapa minggu lagi. – AFP, 5 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen