Pencemaran udara, sekolah di New Delhi ditutup semula


New Delhi merupakan antara bandar yang paling teruk tercemar di dunia yang disebabkan aktiviti perindustrian dan kenderaan. – Gambar EPA, 3 Disember, 2021.

KERAJAAN tempatan di ibu negara India pada Khamis berkata kelas fizikal sekolah-sekolah di New Delhi akan kekal ditutup bermula hari ini sehingga perintah lanjut berhubung krisis kualiti udara diumumkan.

“Sekolah dibuka semula memandangkan unjuran kualiti udara akan bertambah baik. Namun, paras pencemaran udara kembali meningkat dan kami memutuskan untuk menutup sekolah dari Jumaat sehingga perintah selanjutnya,” kata Menteri Alam Sekitar Delhi Gopal Rai, lapor Xinhua.

Pengumuman Rai dibuat sejurus selepas teguran daripada Mahkamah Tinggi India.

Mahkamah tertinggi itu pada Khamis memberi amaran mengenai tindakan tegas dan memberi tempoh 24 jam kepada kerajaan persekutuan, New Delhi, dan negeri jiran untuk bertindak terhadap pencemaran industri dan kenderaan, yang dianggap sebagai penyumbang utama kepada kemerosotan kualiti udara di ibu negara itu. 

Mahkamah juga membuat teguran kepada kerajaan Delhi berhubung pembukaan semula sekolah.

“Kanak-kanak berusia tiga dan empat tahun pergi ke sekolah tetapi orang dewasa bekerja dari rumah,” mahkamah dilaporkan berkata kepada kerajaan Delhi.

Selepas ditutup pada 13 November, kelas secara bersemuka di sekolah, kolej dan institusi pendidikan lain disambung semula mulai Isnin.

Kualiti udara ibu kota merosot secara mendadak bulan lalu selepas perayaan Diwali, berpunca daripada pembakaran mercun.

New Delhi merupakan antara bandar yang paling teruk tercemar di dunia.

Aktiviti perindustrian dan kenderaan menjadi penyumbang utama kepada pencemaran udara di bandar, serta pembinaan yang berleluasa.

Kerajaan Delhi menyalahkan pembakaran tunggul jerami di negeri jiran sehingga menyebabkan pencemaran udara di ibu kota. 

Bagaimanapun, kerajaan persekutuan memberitahu mahkamah pembakaran tunggul jerami hanya menyumbang 4% kepada pencemaran udara. – Bernama, 3 Disember, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen