Selepas 3 tahun, rakyat Malaysia di New Delhi sambut Aidilfitri secara normal


Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan keluarga mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri di New Delhi pada Selasa dalam suasana normal. – Gambar EPA, 3 Mei, 2022.

KAKITANGAN Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan keluarga mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri di New Delhi pada Selasa dalam suasana normal, selepas pandemik yang melanda sejak tiga tahun mula menunjukkan tanda pemulihan.

Eksekutif syarikat, pelajar dan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang menetap di New Delhi turut bersama-sama menyertai rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah enak.

“Ini perhimpunan pertama kami anjurkan dalam tempoh tiga tahun. Bilangan tetamu terhad tetapi tahun ini kami dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana normal,” kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Hidayat Abdul Hamid.

Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke India, Alaihuddin Taha dan diplomat Brunei yang lain turut menyertai rakyat Malaysia menunaikan solat sunat Aidilfitri.

“Rumah terbuka kami hari ini disertai rakyat Malaysia daripada pelbagai komuniti. Kami berharap situasi pandemik akan bertambah baik dan keadaan kembali normal tidak lama lagi untuk membolehkan kami lebih banyak berinteraksi dengan komuniti di New Delhi,” kata Hidayat. – Bernama, 3 Mei, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen