Kedutaan terus kerjasama pastikan rakyat Malaysia di Thailand dapat vaksin


Sejak beberapa bulan lepas pihak kedutaan telah berkongsi dan mengemas kini maklumat program imunisasi yang ditawarkan kepada warga asing yang bermastautin di Thailand, kata Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel. – Gambar EPA, 31 Ogos 2021.

KEDUTAAN Malaysia di Bangkok, Thailand akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand untuk memastikan rakyat Malaysia yang bermastautin di negara itu mendapat suntikan vaksin Covid-19. 

Dutanya, Datuk Jojie Samuel berkata sejak beberapa bulan lepas pihak kedutaan telah berkongsi dan mengemas kini maklumat program imunisasi yang ditawarkan kepada warga asing yang bermastautin di Thailand. 

“Kepada rakyat Malaysia yang tinggal di luar Bangkok dan masih belum berpeluang untuk mendapatkan suntikan vaksin, pihak kedutaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan Thailand menerusi Kementerian Luar Thailand untuk mendapatkan akses kepada program imunisasi,” katanya semasa berucap sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-64 secara maya di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

Kini, terdapat kira-kira 900 warga Malaysia bermastautin di Thailand berdaftar dengan pihak kedutaan.

Thailand mencatatkan 14,666 kes baharu COVID-19 dan 190 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 1.2 juta dan 11,589 kematian. – Bernama, 31 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen