New Delhi laksana perintah berkurung hujung minggu kekang Covid


Sekatan baharu di New Delhi muncul pada hari sama ketua menterinya Arvind Kejriwal umum dijangkiti dan mengalami "gejala ringan". – Gambar EPA, 4 Januari, 2022.

IBU negara India, New Delhi akan ditutup pada hujung minggu ketika pihak berkuasa bergelut dengan lonjakan baharu kes koronavirus, sebahagiannya didorong oleh varian Omicron.

Negara itu dilanda pandemik Covid dahsyat tahun lalu yang melanda hospital dan krematorium, namun bilangan kes harian sejak itu kekal rendah sehingga minggu lalu.

Sekatan baharu di Delhi muncul pada hari sama ketua menterinya Arvind Kejriwal umum dijangkiti dan mengalami “gejala ringan”.

Kejriwal berkata beliau mengasingkan diri di rumah dan menggesa mereka yang berhubung dengannya sejak beberapa hari lalu menjalani ujian.

Ibu negara itu minggu lalu menutup gim dan pawagam, serta mengenakan perintah berkurung semalaman dalam usaha untuk mengekang penularan.

Semua penduduk selain pekerja sektor penting kini akan diminta duduk di rumah dari malam Jumaat hingga pagi Isnin.

“Kerajaan bersedia sepenuhnya untuk memerangi sebarang situasi Covid,” kata timbalan ketua menteri bandar raya itu Manish Sisodia dalam ucapan Selasa.

Lebih 200,000 orang meninggal dunia di seluruh India pada musim bunga lalu selepas gelombang jangkitan varian Delta yang menyebabkan sistem penjagaan kesihatan hampir lumpuh.

481,000 kematian akibat Covid yang diketahui di India adalah angka ketiga tertinggi di dunia, di belakang Amerika Syarikat dan Brazil.

Bagaimanapun banyak yang tidak melapor malah beberapa kajian menganggarkan jumlah sebenar mungkin sehingga 10 kali ganda lebih tinggi.

India mula melancarkan vaksinasi untuk remaja pada Isnin dan akan menawarkan dos penggalak kepada rakyat berusia lebih 60 tahun mulai minggu depan. – AFP, 4 Januari, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen