New Delhi tutup sekolah kerana jerebu


New Delhi disenaraikan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia. – Gambar EPA, 14 November, 2021.

PIHAK berkuasa New Delhi mengumumkan penutupan sekolah selama seminggu pada Sabtu dan berkata mereka akan mempertimbangkan “perintah berkurung pencemaran” untuk melindungi rakyat daripada asap toksik.

“Sekolah akan ditutup supaya kanak-kanak tidak perlu menghirup udara tercemar,” kata ketua menteri Delhi Arvind Kejriwal kepada pemberita.

New Delhi disenaraikan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia, dengan gabungan berbahaya pelepasan asap dari kilang dan kenderaan, serta kebakaran akibat aktiviti pertanian, yang memenuhi ruang udaranya pada musim sejuk di bandar diduduki 20 juta penduduk itu.

Pada Sabtu, Mahkamah Agung mencadangkan mengenakan perintah berkurung terhadap Delhi untuk memerangi krisis kualiti udara.

“Jika tidak, bagaimana kita akan hidup?” kata Ketua Hakim Negara N.V. Ramana.

Kejriwal berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan mahkamah selepas berunding dengan pihak berkepentingan.

“Perintah berkurung kerana pencemaran tidak pernah berlaku sebelum ini. Ia akan menjadi langkah yang ekstrem,” katanya.

Kejriwal berkata aktiviti pembinaan akan dihentikan selama empat hari bagi mengurangkan habuk dari kawasan yang luas dan terbuka.

Pejabat kerajaan diminta beroperasi dari rumah dan perniagaan swasta dinasihatkan kekal kepada pilihan bekerja dari rumah sebanyak mungkin.

Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat pada Jumaat menasihatkan pihak berkuasa bersedia “untuk pelaksanaan langkah di bawah kategori ‘kecemasan’”.

Ia menambah kualiti udara yang buruk mungkin akan berlangsung sehingga sekurang-kurangnya 18 November disebabkan “angin kencang dengan keadaan tenang pada waktu malam”.

Pada Sabtu, paras zarah PM 2.5—yang paling kecil dan berbahaya, yang boleh memasuki aliran darah—meningkat 300 dalam indeks kualiti udara.

Itu adalah 20 kali ganda had harian maksimum yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Hospital melaporkan peningkatan mendadak pesakit yang mengadu kesukaran bernafas, lapor Times of India.

“Kami menerima 12-14 pesakit setiap hari dalam kecemasan, kebanyakannya pada waktu malam, apabila gejala menyebabkan tidur terganggu dan panik,” Dr Suranjit Chatterjee dari Hospital Apollo memberitahu akhbar itu.

Kerajaan Delhi berikrar selama bertahun-tahun untuk membersihkan udara bandar itu.

Pembakaran sisa pertanian di negeri-negeri jiran Delhi—penyumbang utama kepada paras pencemaran bandar itu setiap kali musim sejuk—berterusan walaupun larangan Mahkamah Agung.

Puluhan ribu petani di sekitar ibu kota membakar sisa tanaman pada permulaan setiap musim sejuk, membersihkan ladang selepas padi dituai untuk memberi laluan kepada tanaman gandum.

Jumlah kebakaran ladang pada musim ini adalah yang tertinggi dalam tempoh empat tahun lalu, menurut data kerajaan. 

Awal tahun ini, kerajaan Delhi membuka “menara asap” pertamanya yang mengandungi 40 kipas gergasi yang mengepam 1,000 meter padu udara sesaat melalui penapis.

Pemasangan bernilai AS$2 juta itu mengurangkan separuh jumlah zarah berbahaya di udara tetapi hanya dalam radius satu kilometer persegi, menurut jurutera.

Laporan 2020 oleh organisasi Switzerland IQAir mendapati 22 daripada 30 bandar paling tercemar di dunia berada di India, dengan Delhi disenaraikan sebagai ibu kota paling tercemar di seluruh dunia.

Pada tahun yang sama, Lancet berkata 1.67 juta kematian disebabkan oleh pencemaran udara di India pada 2019, termasuk hampir 17,500 di ibu negara. – AFP, 14 November, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen