Membetulkan fahaman senget tentang Palestin


Hishamuddin Rais

Memahami apa sebenarnya perjuangan Arab Palestin ini penting, lebih-lebih lagi dalam negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 November, 2023.

DI Malaysia ini hampir semua perkara dilihat dari kaca mata Melayu dan bukan Melayu. Kebelakangan ini timbul pula cara melihat satu-satu perkara dari kanta Melayu Islam dan bukan Melayu kafir.

Justeru saya tidak hairan apabila melihat perjuangan Palestin yang sedang berlaku di hadapan mata kita ini dibaca, dilihat dan ditafsir dari kanta agama. Maka hasilnya kejulingan membaca fakta.

Juling fakta menjadikan herot berfikir. Maka hasilnya tidak membawa apa-apa kebaikan. Malah membawa mudarat.

Juling dan herot memahami fakta apa sebenarnya perjuangan Palestin bukan satu lebong. Ini fakta dan dibuktikan dengan apa yang sedang berlaku dengan Minggu Solidariti Palestin di sekolah-sekolah awal November ini. Kempen rasmi Kementerian Pendidikan.

Hasilnya, gambar murid sekolah membawa senapang dan gambar guru menjadi gerila menular luas di media sosial. Ibu bapa naik bengang. Menteri pendidikan terus dicap sebagai bangang. Opps… maaf, sebagai kurang cerdik.

Sandiwara Islam dan kafir ini meleret lagi dengan kemunculan 12 ahli Parlimen PKR yang bukan Islam. Mereka lari dari garis PKR yang menyokong Palestin dan mengajukan Minggu Solidariti Palestin di sekolah.

Ini diikuti pula dengan kenyataan oleh beberapa parti politik dan sekolah mubaligh dari  Borneo yang tidak mahu terlibat dalam kempen Minggu Solidariti Palestin ini.

Himpunan awal menyokong Palestin melihatkan laungan takbir dilarang. Ini berlaku dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka. Penganjur dan sosok yang melarang dilihat sebagai Zionis tempatan. Kutukan demi kutukan sampai. Semua memperlekeh penganjur.

Semua ini adalah babak-babak yang muncul semenjak 7 Oktober bilamana gerila Briged Al-Qassam dari Gaza berjaya menyerang Zionis Israel.

Kejulingan ini muncul kerana beberapa sebab. Kejulingan memahami perjuangan Palestin ini ada yang disengajakan dan ada yang dirancang.

Warga Malaysia – generasi tua dan muda – Melayu, Cina, India, Iban dan Dayak, tidak dididik dan diberi penerangan secara jelas dan tuntas bahawa perjuangan Arab Palestin ini bukan perjuangan agama.

Perjuangan Palestin bukan Arab-Islam lawan Yahudi. Atau Yahudi lawan Islam.

Warga Malaysia tidak diberi fakta bahawa ada 15% Arab Palestin beragama Kristian.

Dr George Habash (1926- 2008), pemimpin Barisan Rakyat untuk Pembebasan Palestin (PFLP) seorang Kristian. Begitu juga Hanan Ashrawi, salah seorang pemimpin kanan PLO yang masih aktif. Hanan Ashrawi nama Arab tapi beragama Kristian.

Tidak menghebohkan fakta isu Palestin ini bukan perbalahan agama berlaku kerana kepentingan politik. Parti Islam PAS mahu menjadikan Palestin sebagai pukat untuk mencari sokongan Melayu Islam. Ini dibalas pula oleh pukat PKR yang enggan dilihat kurang Islam dan kurang Melayu.

Ini terbukti apabila setiap kelompok – Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional – mengadakan perhimpunan bersetia kawan dengan Palestin berasingan.

Haji Hadi, pemimpin parti Islam PAS, mahu partinya dilihat juara penyokong Palestin yang ulung. Manakala Haji Anwar dari PKR  tidak mahu ketinggalan. Malah dua-dua kumpulan menggunakan Palestin untuk menangguk undi Melayu Islam.

Politikus ini lupa, dalam apa saja kerja, kita memerlukan analisa yang tepat dengan fakta yang betul untuk membuat keputusan. Pandangan dan kerja politik wajib sama seperti cara bergerila Briged Al-Qassam. Pejuang gerila memerlukan data tepat, logistik tepat dan peta yang tepat untuk berjaya sebelum melancar serangan.

Kerja semberono, kerja cincai, kerja setengah masak tidak akan menghasilkan kejayaan. Malah membawa mudarat.

Memahami apa sebenarnya perjuangan Arab Palestin ini penting. Tambah lagi dalam negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.

Perjuangan Arab Palestin bukan perjuangan agama. Kalau bukan perjuangan agama, perjuangan Arab Palestin ini perjuangan apa ?

Saya telah menulis dan bersuara mengatakan bahawa perjuangan Palestin adalah perjuangan  melawan penjajah. Negara Palestin – bumi Arab – ini telah dijajah oleh Zionis Israel semenjak 1948. Zionis Israel ini mendapat sokongan kuasa imperialis Anglo-Amerika dan juga negara Eropah seperti Perancis dan German.

“President Joe Biden hosted Israel’s President Isaac Herzog at the White House on Wednesday, saying that if there was no Israel ‘we’d have to invent one’.” (Presiden Joe Biden menjadi tuan rumah kepada Presiden Israel Isaac Herzog di Rumah Putih pada hari Rabu, mengatakan bahawa jika tidak ada Israel “kita perlu mencipta satu”.)

Potongan berita ini dikutip dari portal The New Arab, 27 Oktober 2022.

Kenyataan Biden ini membuktikan Israel ialah negara ciptaan kuasa Zionis-Anglo-Amerika. Negara Israel adalah negara pendatang – settler state – seperti Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Kanada dan Singapura.

Penduduk asal Red Indian dibunuh di Amerika, Maori di New Zeland, Orang Itam di Australia. Di Singapura, Bani Melayu ditenggelami oleh pendatang China.

Israel, sama seperti Singapura, diperlukan untuk kepentingan strategik kuasa imperialis dunia.

Israel didirikan untuk mengawal dunia Arab. Singapura didirikan untuk mengawal dunia Melayu.

Israel hakikatnya adalah pangkalan tentera untuk imperialis Amerika. Sama peranan seperti Singapura.

Pangkalan tentera bernama Israel ini, setiap tahun Amerika memberi dana AS$3 bilion kepadanya. Tanpa sokongan tentera, dana dan diplomatik dari Amerika, negara Zionis Israel ini akan hancur.

Justeru kita akan masuk ke dalam jaring Zionis jika kita mengakui atau mentakrif perjuangan Arab Palestin ini sebagai perjuangan Islam melawan Yahudi.

Menjadikan agenda perjuangan antikolonial Arab Palestin kepada perjuangan agama, kita akan masuk ke dalam bakul Zionis.

Induk dari ideologi Zionis ialah mendirikan Israel sebagai wilayah suci Bani Israel. Meyahudikan  Palestin adalah arahan dari Yahweh – tuhan Yahudi. Arahan Yahweh ini ada disebut dalam kitab suci Buku Joshua buku keenam dalam Kitab Injil Hebrew dan dalam Kitab Injil Perjanjian Lama.

Justeru apa yang kita lihat hari ini adalah projek arahan Yahweh untuk meyahudikan seluruh Palestin.

Eretz Yisrael Hashlema – ini adalah ajaran Zionis yang memberi makna Tanah Suci Israel. Wilayah ini luas. Eretz Israel atau Greater Israel mencakupi Lebanon, Jordan dan Syria.

Agama menjadi asas untuk menjajah bumi Arab. Berpandukan ajaran agama, kaum Zionis  sedang memperluaskan tanah jajahan. Ajaran dari kitab suci ini juga dikongsi oleh kumpulan Zionis-Kristian.

Zionis Kristian ini wujud di Amerika dan di Eropah. Mereka memiliki pandangan ekstrem  kanan. Sokongan awal untuk mendirikan Israel datang daripada pemimpin negara seperti Winston Churchill (1874-1965) yang bersimpati dengan Zionis Kristian.

Fahaman Zionis Kristian ini amat popular dalam kalangan elit British. Fahaman inilah yang melahirkan Balfour Declaration 1917.

Mengikut Noam Chomsky – seorang  intelektual Yahudi anti-Zionis – pemimpin awal Amerika adalah penganut fahaman Zionis Kristian. Presiden Woodrow Wilson (1856-1924) dan Harry Truman (1884 -1972) adalah  penganut Zionis Kristian yang warak.

Justeru, menjajah dan menakluki bumi Arab Palestin adalah ajaran suci penganut Zionis Kristian. Jika kita pula menyambut pandangan ini, maka kita terperangkap sama dalam agenda  penjajahan Zionis Kristian.

Meyahudikan Arab Palestin sebenarnya tidak ada sangkut paut dengan agama. Ini adalah projek sama seperti British menjajah Tanah Melayu. British meluaskan wilayah dari Singapura ke Pulau Pinang akhirnya ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Palestin wajib dijajah untuk mendirikan pangkalan tentera. Tujuan awalnya untuk mengawal Terusan Suez. Terusan ini yang amat strategik ini siap dibina pada 17 November 1869.

Apabila minyak ditemui di Arab Saudi pada 3 Mac 1938, Israel menjadi amat penting. Penjajahan bumi Arab ini  bertujuan untuk mengawal dan mendominasi pengaliran bahan bakar petrol – darah ekonomi dunia moden.

Jika kita semua telah memahami fakta sejarah terdirinya Israel sebagai projek penjajahan maka lebih senang untuk meluas sokongan anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Malaysia.

Menyokong keadilan dan melawan kezaliman  bukan hanya tuntutan agama Islam. Agama Hindu, Kristian, Majusi, Bahai dan semua agama memiliki ajaran yang sama. Malah mereka yang tidak beragama juga menyokong keadilan dan melawan kezaliman.

Amar makruf nahi mungkar ini bukan milik Melayu Islam, bukan milik Arab. Ajaran ini milik anak semua bangsa.

Kali ini kelihatan sokongan terhadap perjuangan antikolonial Palestin amat mengampuh.  Warga seluruh dunia bangun berarak ke jalan raya menyatakan sokongan terhadap kezaliman yang sedang dihempapkan ke atas Arab Palestin.

Apa yang sedang dihadapi oleh warga Palestin dari Gaza ke Tebing Barat, dari Ramalah ke Jenin, sedang dirasakan oleh warga dunia.

Bolivia, negara Kristian dari Amerika Latin, telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel. Chile dan Colombia, juga negara Kristian dari Amerika Latin, telah memanggil duta  mereka pulang.

Solidariti dan bersetia kawan dengan perjuangan adil Arab Palestin tidak dapat dibendung.

Justeru kita di Malaysia jangan menjadi virus Covid menyebarkan pandangan serong lagi salah tentang apa sebenarnya perjuangan Arab Palestin.

Kita di Malaysia – dari pemimpin semua parti politik Islam Melayu, dari Tok Guru ke Pak Lebai, dari Ustaz YouTube ke Mat TikTok – janganlah hendaknya kita rosakkan perjuangan Arab Palestin dengan fikrah sempit kita.  

Jangan kita alih perjuangan nasional Arab Palestin untuk merampas kembali bumi mereka yang telah dijajah. Jangan kita jadikan perjuangan Arab Palestin melawan Zionis Israel sebagai perjuangan agama.

Simpanlah agenda politik kepartian yang sempit itu dalam kelambu parti masing-masing. Amin. – 3 November, 2023.

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen