Wajarkah langkah turunkan had umur senator?


Fakhrurrazi Rashid

Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan pelantikan senator daripada 30 tahun kepada 18 tahun. – Gambar Facebook, 2 November, 2023.

SARANAN Yang di-Pertua Dewan Negara Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk mencadangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan pelantikan senator daripada 30 tahun kepada 18 tahun adalah satu cadangan yang baik demi masa depan Dewan Negara. 

Wan Junaidi melihat perubahan ini akan memberi akses kepada pemimpin belia yang terlibat dalam proses membuat keputusan tertinggi negara. Lantikan individu yang terdiri daripada persatuan belia dan mahasiswa sebagai senator dapat memberi input tambahan kepada kerajaan untuk memahami keperluan anak muda dalam pelbagai aspek. 

Dapatan Inter Parliamentary Union (IPU) 2023 menyatakan terdapat hanya 2.6% ahli Parlimen bawah 30 tahun di seluruh dunia. Upper chambers atau dewan tertinggi Parlimen di seluruh dunia mengalami proses yang perlahan untuk melihat ahli Parlimen bawah 30 tahun.

Sebanyak 73% Parlimen di seluruh dunia tidak mempunyai ahli Parlimen bawah 30 tahun, termasuk Dewan Negara di Malaysia kerana kelayakan menjadi senator adalah 30 tahun ke atas. Secara asasnya, cadangan menurunkan had umur senator boleh memberi perspektif baharu kepada Dewan Negara yang masih dibelenggu pelbagai dilema.

Tiada jaminan pembaharuan

Walau bagaimanapun, saya skeptik dengan langkah menurunkan had umur senator kepada 18 tahun yang boleh menjadi tindakan populis, dan hanya memberi keuntungan kepada sebahagian kecil kumpulan anak muda di Malaysia yang masih kurang cakna dari aspek politik dan kenegaraan. 

Kurangnya pemahaman anak muda dalam sistem demokrasi berparlimen khususnya Dewan Negara tidak akan memberi apa-apa nilai tambah berkenaan usaha menurunkan had umur senator.

Tanpa kerangka yang tepat dalam memahami fungsi Dewan Negara, golongan belia mudah dimanipulasi dan mencipta perspektif yang berbeza dengan asas Perlembagaan Persekutuan, lebih-lebih lagi politik negara kini dibanjiri politik polarisasi kaum dan agama yang menebal.

Meletakkan pemimpin belia sebagai ahli Parlimen atau senator tidak menjamin pembaharuan kepada Parlimen akan tercapai. Segelintir ahli Parlimen muda di Dewan Rakyat hari ini masih tenggelam untuk menyuarakan nasib belia. Ada yang tidak bersuara dan terlibat secara aktif dalam mengetengahkan isu anak muda di Parlimen.

Ada ahli parlimen muda yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan menjadi wakil rakyat memasuki penggal kedua, masih kurang faham akan peraturan Dewan Rakyat. Kualiti perbahasan juga kurang memuaskan kerana sering membawa cadangan dasar yang tidak berfakta dan terpesong daripada asas sebenar. 

Timbul juga persoalan sekiranya pemimpin belia yang dilantik menjadi senator tidak mewakili suara sebenar anak muda. Hal ini kerana proses  lantikan senator yang bukan daripada negeri ditetapkan oleh perdana menteri atau parti kerajaan, bukan berdasarkan sistem pilihan raya yang melibatkan penyertaan rakyat. Situasi ini menyebabkan pemimpin belia yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara mempunyai kecenderungan mewakili suara badan eksekutif berbanding pandangan anak muda itu sendiri.

Kelemahan-kelemahan ini adalah asas kukuh untuk tidak melakukan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan kelayakan umur senator kepada 18 tahun secara tergesa-gesa tanpa kajian dan program membina kesedaran rakyat secara menyeluruh. Cadangan ini tidak cukup untuk menambah baik Dewan Negara.

Apa seterusnya?

Perancangan Wan Junaidi untuk meningkatkan perwakilan senator dipilih mengikut negeri kepada tiga orang perlu dilaksanakan segera. Ini bermaksud, senator mewakili negeri akan bertambah kepada 39 orang dan ia boleh mengimbangi dan memperkukuh suara dan kepentingan negeri di Dewan Negara.

Jika selepas itu berlaku penurunan had umur senator kepada 18 tahun, saya mencadangkan satu daripada tiga senator yang dipilih DUN itu diberikan khusus kepada pemimpin muda di peringkat negeri. Kaedah ini dapat membentuk representasi pemimpin belia yang boleh menyuarakan isu-isu yang menjadi keutamaan belia di negeri masing-masing kepada kerajaan pusat melalui Dewan Negara.

Selain itu, program seperti Parlimen Belia Malaysia perlu menjadi platform penting untuk memberi pendedahan sebenar kepada anak muda tentang konsep sistem demokrasi berparlimen, kenegaraan dan kepimpinan. 

Dengan kedudukan Parlimen Belia di bawah pengurusan Parlimen Malaysia pada 2024, program ini diharapkan dapat menerapkan lebih banyak aspek demokrasi berparlimen yang tulen berbanding perdebatan semata-mata.

Ini juga selari dengan komitmen Yang di-Pertua Dewan Rakyat Johari Abdul yang mahu menambahbaik Parlimen Belia sebagai ‘inkubator’ yang melahirkan pemimpin belia yang mahir dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, sains dan pertanian. 

Hasrat terbesar reformasi Dewan Negara adalah untuk mengadakan pemilihan senator melalui pilihan raya. Rakyat berhak memilih senator untuk mewakili kepentingan mereka di Dewan Negara, khususnya dalam isu berkaitan hubungan persekutuan-negeri. Legitimasi Dewan Negara akan lebih kukuh dengan adanya pilihan raya buat senator kerana ia dipilih berdasarkan pilihan rakyat, termasuklah pengundi berusia 18 tahun. 

Fungsi Dewan Negara juga boleh ditambah baik dengan adanya sistem pilihan raya Senator seperti memberi mandat yang hampir sama dengan Dewan Rakyat untuk membuat keputusan melibatkan undang-undang kewangan seperti cukai dan belanjawan kerajaan, khasnya berkaitan agihan ekonomi antara kerajaan negeri dan pusat seperti Parlimen Australia, India dan Amerika Syarikat. 

Tidak dinafikan, penyertaan anak muda dalam menambah baik institusi Dewan Negara akan memberi nilai tambah kepada pengukuhan sistem demokrasi berparlimen negara. Tetapi, golongan muda harus sedar bahawa agenda ini tidak boleh bergerak secara silo dan gagal melihat persekitaran semasa, khususnya pengundi muda, yang masih terpinga-pinga untuk memahami sistem pentadbiran dalam konteks yang lebih luas. 

Lebih baik agenda meletakkan golongan belia sebagai senator ini diberi pendedahan yang terperinci kepada orang awam sebelum dilaksanakan. Biarlah agenda ini diterima ramai berbanding keghairahan membuat pindaan perlembagaan yang boleh melahirkan senator muda yang oportunis, gopoh, dan hanya menunggang isu populis yang merugikan anak muda di kemudian hari.  – 2 November, 2023.

* Fakhrurrazi Rashid, juga dikenali kawan-kawannya sebagai Bob, minat dengan parlimen yang tidak siapa kisah di Malaysia dan sentiasa mengikuti rapat isu politik semasa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen