Saya bukan Islam, tak salah mabuk, kata Tiong


Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mempertahankan tindakan beliau minum minuman memabukkan dan menari di khalayak ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Oktober, 2023.

TIONG King Sing berkata beliau bukan beragama Islam, jadi tiada salahnya jika menteri pelancongan, seni dan budaya itu minum minuman memabukkan dan menari di khalayak ramai semasa sesuatu perayaan.

Menteri itu berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini, mempertahankan tindakan beliau dalam video yang tular sebelum ini, yang memaparkan dirinya sedang menari bersama orang ramai dalam keadaan mabuk.

Tiong juga pernah ditegur seorang ahli Parlimen pembangkang sebelum ini, yang menyifatkan ia perlakuan tidak wajar seorang menteri. 

“Janganlah guna isu yang bukan-bukan. Contohnya Yang Berhormat Masjid Tanah (Mas Ermieyati Samsudin) kata saya mabuk, saya minum (arak). Saya bukan orang Islam, apa salahnya saya minum?

“Saya pergi Pelangai (semasa pilihan raya kecil), dia orang ajak saya sertai Festival Tanglung, saya minum, saya main-main dengan budak macam orang ‘gila’ sikit, apa salahnya?

“Itu kebudayaan orang Cina, tiada masalah…janganlah cerita yang bukan-bukan,” kata Tiong semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 hari ini.

Beliau selain itu menegaskan isu tersebut tidak harus dijadikan sebagai kayu pengukur prestasinya sebagai menteri pelancongan. – 31 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen