Pembelian panik punca bekalan beras kurang, kata Mat Sabu


Alfian Z.M. Tahir

Mohamad Sabu berkata kekurangan bekalan beras putih tempatan berpunca daripada pembelian panik ekoran penyebaran berita palsu bahawa bekalan bahan mentah itu akan kehabisan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Oktober, 2023.

BERAS putih tempatan sukar diperolehi di pasaran akibat pembelian panik ekoran penularan berita palsu kononnya bekalan akan kehabisan, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Pembelian panik juga disebabkan oleh trend peralihan pengguna beras putih import kepada beras putih tempatan selepas harga bahan mentah itu naik mendadak susulan India memutuskan untuk menghentikan eksport berasnya ke luar negara, tambah beliau.

“(Harga) beras import naik tiba-tiba kerana India mula henti eskport beras putih.

“Orang Petaling Jaya, orang Shah Alam sebelah situ mana pedulu beras tempatan. Semua makan beras import sebab harga beras tempatan RM26, beras baru RM3, RM34… tidaklah mahal sangat dan mereka kata beras import ni elok.

“Tapi bila beras import naik (harga) melambung sampai RM37, RM40, mereka carilah beras tempatan. 

“Bila main (sebar) video dan sebagainya kata bulan depan tak ada beras, orang ramai pun terpa (serbu) beli beras yang kalau (dulu) sebulan sekampit, (sekarang) dia beli tiga. Bila dia beli tiga (kampit) dia ambil hak orang lain dua kampit. Yang (dulu beli) dua kampit pula dia beli empat,” katanya pada ceramah di Pelangai malam tadi.

Justeru Mohamad yang juga presiden Amanah menasihatkan orang ramai supaya membeli beras hanya mengikut keperluan sambil memberi jaminan kerajaan akan mencari jalan untuk menangani isu kekurangan bekalan makanan ruji itu.

Beliau mengakui situasi ketika ini agak kelam-kabut, namun semakin pulih dengan pelaksanaan beberapa langkah jangka pendek yang diambil kerajaan.

“Esok (hari ini) kita akan bincang dengan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim). Kalau dah bersetuju semuanya, agensi kerajaan seperti hospital, kem tentera, polis dan sebagainya, kita minta mereka beli beras import.

“Selepas itu, bekalan beras tempatan akan dilambak kembali di pasaran. Kalau tak menjadi juga, saya cari jalan yang lain kerana itu jangka pendek,” katanya. – 2 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen