Mahkamah kekal kemenangan Mas Ermieyati di Masjid Tanah


Mas Ermieyati Samsudin menang kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti lebih 4,400 undi dalam PRU15 pada November lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Oktober, 2023.

MAHKAMAH Pilihan Raya Melaka hari ini mengekalkan kemenangan Mas Ermieyati Samsudin di kawasan Parlimen Masjid Tanah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Abu Bakar Katar menolak petisyen pilihan raya yang dikemukakan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangan calon Perikatan Nasional (PN) itu selepas memutuskan pempetisyen gagal membuktikan wujud elemen rasuah pada kempen PRU15.

Pada 3 Januari lepas, Abdul Hakim memfailkan petisyen pilihan raya mendakwa rasuah dalam bentuk wang dan jamuan digunakan untuk memikat pengundi pada PRU15.

Mahkamah memerintahkan pempetisyen (Abdul Hakim) membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Mas Ermieyati selaku responden.

Abu Bakar dalam penghakimannya berkata pempetisyen bergantung kepada dua alasan utama dalam petisyen iaitu berlakunya penyogokan wang oleh ejen responden semasa hari pengundian dan jamuan yang diadakan pada 3 Disember 2022. 

“Mahkamah ini sedar Mahkamah Pilihan Raya tidak perlu mengambil pendekatan yang terlampau rigid hingga menggagalkan niat undang-undang untuk menjaga kesucian proses pilihan raya yang diadakan,” katanya. 

Mahkamah juga katanya berpendapat responden tidak mempunyai pengetahuan atau memberi kebenaran kepada Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu Akmal Zahin Zainal Zahir untuk hadir di premis dan memberi wang sogokan (jika dibuktikan) serta tiada keterangan mahkamah yang menunjukkan sepanjang PRU-15, Akmal Zahin secara aktif atau terang-terangan turut hadir berkempen di Masjid Tanah bagi memastikan kemenangan responden yang bertanding bagi PN. 

“Berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan, mahkamah berpendapat pempetisyen gagal membuktikan melampaui keraguan yang munasabah responden atau ejennya melakukan sogokan wang atau penjamuan sebagaimana yang diplidkan dalam petisyen pilihan raya sehingga boleh membatalkan kemenangan responden di Parlimen Masjid Tanah. 

“Menurut Seksyen 36 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mahkamah memutuskan responden telah dilapor dipilih dengan sewajarnya sebagai ahli Parlimen Masjid Tanah dalam PRU15,” katanya. 

Seramai 28 saksi memberi keterangan pada perbicaraan selama 13 hari dengan tiga saksi daripada pihak responden termasuk Mas Ermieyati manakala pempetisyen seramai 10 orang.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang mengetuai barisan peguam bagi pihak responden berkata pihaknya bersyukur dengan keputusan itu. Pempetisyen diwakili peguam Mohd Hafarizam Harun. 

Pada 2 Mei lepas, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Masjid Tanah dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh selepas membenarkan rayuan Abdul Hakim.

Abdul Hakim merayu terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya itu yang membatalkan petisyen pilihan rayanya untuk membatalkan kemenangan Mas Ermieyati iaitu ketua Bersatu Masjid Tanah.

Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati menang dengan majoriti 4,411 undi dalam saingan empat penjuru selepas memperoleh 25,604 undi.

Beliau menewaskan Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi, calon Muda Mutalib Uthman (7,445 undi) dan calon Pejuang Handrawirawan Abu Bakar (507 undi). – Bernama, 27 Oktober, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen