Kumpulan sivil gesa pegawai jalani latihan kendali suspek, tahanan


Edict bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan agensi penguatkuasaan bagi menambah baik sistem tahanan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

PEGAWAI penguatkuasaan mesti menjalani kursus latihan hak asasi manusia untuk mempelajari cara mengendalikan tahanan, kata sebuah kumpulan hari ini.

Kumpulan hak asasi manusia Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) berkata ini boleh mengurangkan jumlah kematian dalam tahanan dengan ketara.

“Anggota yang gagal dalam latihan itu tidak seharusnya direkrut ke dalam mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang yang mengendalikan penahanan suspek dan banduan,” kata Edict dalam satu kenyataan hari ini.

Edict bersedia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalamannya dengan agensi penguatkuasaan bagi menambah baik sistem tahanan.

Kumpulan itu berkata input daripada Badan Peguam dan kumpulan masyarakat sivil akan membantu dalam usaha mencapai sifar kematian dalam tahanan.

Edict berkata jumlah kematian dalam tahanan akan dikurangkan secara drastik jika langkah sedemikian diambil.

Awal tahun ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah memberitahu Dewan Rakyat yang jumlah kematian dalam tahanan polis menurun sebanyak 48% kepada 24 kes tahun lepas, berbanding 46 kes tahun sebelumnya, selepas Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan ditubuhkan.

Kumpulan itu berkata hampir semua kematian dalam tahanan boleh dielakkan jika langkah sewajarnya diambil tepat pada masanya. – Bernama, 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen