Polis siasat Edict selepas gesa tindakan terhadap anggota terbabit insiden cekik


Jurucakap Edict M Visvanathan berkata sekumpulan pegawai polis dari balai polis daerah Ipoh datang ke pejabat mereka di Petaling Jaya pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Disember, 2021.

POLIS Ipoh sedang menyiasat kumpulan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict), berhubung kenyataannya mengenai kes seorang lelaki dicekik hingga mati manakala dua anggota polis dikatakan hanya berdiri menyaksikannya tanpa berbuat apa-apa. 

Jurucakap Edict M Visvanathan memberitahu The Malaysian Insight sekumpulan pegawai polis dari balai polis daerah Ipoh datang ke pejabat mereka di Petaling Jaya pagi ini.

Bagaimanapun, tiada sesiapa berada di pejabat kerana mereka sedang memantau kes mahkamah, katanya.

“Sekumpulan anggota polis datang ke pejabat kami dan ia berhubung kenyataan yang kami keluarkan minggu lalu membabitkan kematian seorang lelaki yang disyaki seorang peragut.

“Lelaki itu dicekik di depan dua anggota polis bertugas yang berpakaian lengkap dan tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan kejadian yang mengakibatkan lelaki itu maut.

“Dalam kenyataan kami, kami menggesa polis bertindak terhadap dua anggota kerana gagal menjaga atau melindungi orang ramai. Lebih-lebih lagi untuk mengelakkan kematian.”

“Polis Ipoh datang pagi ini berhubung kenyataan akhbar itu. Bagaimanapun, kami tiada,” kata Visvanathan.

Gambar lelaki dicekik itu tular di media sosial akhir bulan lalu. Kelihatan dua pegawai polis berpakaian seragam dalam gambar itu yag didakwa pengguna media sosial tidak melakukan apa-apa.

Visvanathan berkata Edict menerima notis di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Difahamkan polis akan merekodkan kenyataan daripada anggota Edict pada Rabu.

“Polis tidak sepatutnya menyiasat kritikan terhadap mereka daripada kumpulan awam atau rakyat biasa kerana kritikan kami bertujuan untuk meningkatkan kredibiliti polis,” tambah Visvanathan.

Sementara itu, sumber polis dari balai polis daerah Ipoh mengesahkan siasatan terhadap Edict tetapi tidak mengulas lanjut.

Selepas kejadian itu, polis Perak menafikan anggotanya tidak bertindak bagi menghalang kejadian itu, yang dikatakan pergaduhan antara dua lelaki kerana barang curi.

Seorang daripada anggota polis dalam gambar yang tular itu membuat laporan polis dan sedang menyiasat pihak yang mengambil gambar itu dan menyiarkannya di media sosial. – 13 Disember, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen