Mahkamah tetapkan pampasan baharu kes mati dalam tahanan


MAHKAMAH Rayuan akan memutuskan jumlah baharu pampasan kecuaian yang perlu dibayar oleh kerajaan kepada keluarga Kamarulnizam Ismail yang meninggal dunia ketika dalam tahanan polis pada tahun 2014.

Mahkamah membenarkan rayuan kerajaan untuk mengetepikan jumlah awal RM150,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dalam tuntutan sivil keluarga itu pada tahun 2019.

Jumlahnya adalah untuk penahanan yang tidak sah (RM100,000) dan penyalahgunaan di pejabat awam (RM50,000).

Bagaimanapun mahkamah juga menerima rayuan keluarga untuk mendapatkan pampasan yang lebih tinggi.

“Mahkamah juga membenarkan rayuan keluarga mangsa untuk mendapatkan pampasan atas kecuaian dalam kes berkenaan.

“Mahkamah menetapkan 7 Julai bagi memutuskan jumlahnya,” kata Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) yang membantu keluarga mangsa. 

“Edict berharap perkara baharu yang baik akan ditetapkan dalam keputusan…(supaya) dapat memberi pengajaran dan dijadikan contoh oleh pihak penguatkuasaan agar lebih peka terhadap perlunya menjaga tahanan dengan baik sesuai dengan undang-undang,” katanya.

Mahkamah rayuan juga akan memutuskan pada tarikh sama jumlah pampasan untuk liabiliti yang sebelumnya ditolak oleh mahkamah tinggi.

Edict dalam kenyataannya menambah bahawa mahkamah hari ini membenarkan pampasan khas RM10,000 yang dituntut oleh keluarga Kamarulnizam yang tidak diberikan oleh mahkamah tinggi.

Mahkamah rayuan juga menaikkan kos untuk prosiding dari RM12,000 yang diberikan oleh mahkamah tinggi kepada RM30,000.

Keluarga Kamarulnizam menang dalam saman sivil terhadap 12 defendan termasuk ketua polis negara, ketua penjara Tapah dan kerajaan Malaysia di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Ogos 2019.

Pekerja am di kilang gula itu ditemui mati pada 8 Mac 2014 di Penjara Tapah di Perak. Dia ditahan pada 13 Februari tahun sama kerana memiliki barangan curi.

Dia mengaku bersalah dan didenda RM800 atau 14 hari penjara sebagai ganti denda dan memilih hukuman penjara.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan oleh jangkitan paru-paru.

Keluarga mangsa bagaimanapun mendakwa mangsa dipukul ketika dalam tahanan.

Ibunya Rahaya Salleh mengemukakan saman sivil pada Mac 2017. – 24 Jun, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen