Suruhanjaya tatakelakuan polis tak capai matlamat, kumpulan hak asasi lancar kempen


Elill Easwaran

Kumpulan Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) hari ini melancarkan kempen tolak RUU IPCC, berkata mereka hairan kenapa polis takut dengan IPCMC jika tidak buat salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2021.

SEBUAH kumpulan hak asasi manusia telah melancarkan kempen tandatangan menolak Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) kerana capai matlamat reformasi polis.

Presiden Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) M. Visvanathan berkata IPCC langsung tidak beri kuasa untuk mendakwa pegawai yang bersalah.

Justeru beliau berkata Putrajaya perlu memansuhkan pelan untuk IPCC dan menggantikannya dengan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) asal yang digubal Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) 16 tahun lepas.

Mereka yang berminat untuk menandatangani kempen boleh kunjung ke laman web ini: https://chng.it/NNcFWfGfhR

Menurut Visvanathan, IPCC yang dimulakan untuk membawa reformasi kepada pasukan polis tidak capai matlamat asalnya.

“Mereka tidak sepatutnya buang masa untuk buat IPCC, sebaliknya mereka perlu buat versi asal IPCMC.

Beliau berkata yang beliau tidak faham mengapa polis takut kepada IPCMC.

“Jika polis tidak buat apa-apa kesalahan maka mereka tidak perlu bimbang tentang IPCMC.

“Saya amat yakin jika IPCMC dilaksanakan, kita akan ada pasukan polis yang lebih dihormati,” katanya.

IPCMC telah dicadangkan pada 2005 untuk menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan sebagai satu cara untuk meningkatkan keterbukaan dan akauntabiliti pasukan polis.

Rang undang-undang itu dibentangkan buat kali pertama pada Julai 2019.

Pada Ogos tahun lalu, pentadbiran Perikatan Nasional menggantikan Rang Undang-undang IPCMC dengan Rang Undang-undang IPCC.

Lembaga pengawasan polis yang baharu itu akan diletakkan bersama Kementerian Dalam Negeri di bawah rang undang-undang yang dipinda, membolehkan Menteri Dalam Negeri pantau.

Dalam pelan asal, IPCMC sepatutnya berada di bawah bahagian hal ehwal undang-undang. – 9 Disember, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen