Polis panggil aktivis, timbalan pengerusi PSM


Alfian Z.M. Tahir

Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan (kiri), Pengarah Eksekutif Edict Khalid Mohd Ismath dan jurucakap Caged Rama Ramanathan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Julai, 2020.

AKTIVIS hak asasi Rama Ramanathan tidak faham mengapa beliau dipanggil untuk disoal siasat mengenai himpunan “Black Thursday” di Kuala Lumpur minggu lalu sedangkan namanya tiada dalam notis yang dikemukakan kepada polis.

“Saya dalam perjalanan ke Dang Wangi tetapi saya tak pasti kenapa saya dipanggil. Nama saya tiada dalam notis yang kami kemukakan,” kata Jurucakap Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) itu kepada The Malaysian Insight.

Selain Rama, polis juga memanggil Pengarah Eksekutif Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (Edict) Khalid Mohd Ismath dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan.

Perhimpunan “Black Thursday” diadakan pada jam 6.30 petang di luar Bangunan Majlis Peguam di Kuala Lumpur, Khamis lalu. Perhimpunan diadakan untuk memperingati mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi berkata beliau menganjurkan perhimpunan tersebut bagi pihak Edict.

Beliau tidak pasti mengapa polis memanggil Arutchelvan kerana timbalan pengerusi PSM itu hanya dijemput untuk berucap.

“Mungkin dia dipanggil kerana berucap, tetapi saya tak tahu sebab sebenar dia dipanggil.

“Kami akan diwakili peguam M. Visvanathan, Raj Surian Pillai and Farida Mohamad,” katanya.

Khalid, Rama dan Arutchelvan kini berada di Balai Polis Dang Wangi untuk memberi keterangan.  – 20 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen