Kumpulan hak asasi gesa siasatan kematian dalam lokap di Cheras


SEBUAH kumpulan persatuan sivil mendesak kerajaan melancarkan siasatan berhubung satu lagi kes kematian dalam tahanan membabitkan seorang lelaki berusia 54 tahun di ibu pejabat polis Cheras pada Isnin.

Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (EDICT) berkata mereka bimbang dengan peningkatan trend kematian dalam tahanan.

“Difahamkan polis mendakwa si mati menggantung dirinya di lokap.

“Tuduhan itu mengarut kerana lokap sentiasa dipantau oleh kamera CCTV dan beberapa anggota polis setiap masa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mereka berkata peguam EDICT beberapa kali mengendalikan kes siasatan awam kematian dalam tahanan, dan dakwaan seperti itu oleh pihak berkuasa, sudah biasa didengar.

“Siasatan perlu dilakukan bagi setiap kematian yang berlaku dalam tahanan polis atau penjara. Ini jelas dinyatakan dalam Seksyen 334 Kanun Keseksaan.

“Kematian dalam tahanan boleh dielakkan jika tahanan diuruskan dengan betul.”

Mereka juga menggesa orang ramai yang ada maklumat berkenaan kes itu atau mengenali keluarga mangsa, untuk menghubungi EDICT.  – 10 Mac, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen