MIC ambil pendekatan tunggu dan lihat


Ravin Palanisamy

President MIC S. A. Vigneswaran berkata partinya sedang melihat kerusi yang berpotensi untuk ditandingi pada pilihan raya umum akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Oktober, 2023.

MIC, sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN), berkemungkinan mengikuti langkah MCA dalam mempertimbangkan untuk mencorak haluannya sendiri jika mana-mana parti lain dalam gabungan empat anggota itu memutuskan untuk keluar, kata pemimpin parti.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, pemimpin MIC yang tidak mahu namanya didedahkan, tidak menolak kemungkinan perkara itu berlaku.

Mereka juga mencadangkan pendirian yang lebih jelas akan dibuat pada perhimpunan tahunan parti bulan depan.

“Kamu perlu menunggu mesyuarat agung tahunan kami pada 18 November,” kata seorang pemimpin.

Kedua-dua MIC dan MCA tidak diwakili dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana semua kuota BN telah diperuntukkan kepada Umno.

Pada hujung minggu lalu, Presiden MCA Wee Ka Siong berkata partinya bersedia untuk bergerak secara solo sekiranya parti komponen BN membentuk perkongsian baharu dan meninggalkan ahli gabungannya.

Bekas menteri pengangkutan itu berkata perubahan landskap politik berikutan pilihan raya umum 2022 telah mengubah dinamik dalam kalangan parti komponen BN.

BN mempunyai empat komponen - Umno, MCA, MIC dan Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS). Pada PRU15, BN hanya memenangi 30 kerusi, yang mana 26 daripadanya dimenangi oleh Umno, diikuti oleh MCA (2) dan masing-masing satu oleh MIC dan PBRS.

Umno dan BN kemudiannya memutuskan untuk bergabung dengan Pakatan Harapan untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Presiden MIC S. A. Vigneswaran secara ringkas memberitahu The Malaysian Insight “tidak ada pertimbangan untuk perkara sedemikian pada masa ini”.

Bagaimanapun seorang lagi pemimpin parti, yang enggan dikenali, berkata jawapan presiden itu tidak pasti, membayangkan apa-apa boleh berlaku.

“Perhatikan perkara itu. Presiden menjawab soalan anda dengan berkata ‘tiada pertimbangan buat masa ini’.

“Maknanya, terdapat kemungkinan pada masa hadapan. Kita kena tunggu dan lihat,” kata pemimpin kanan parti itu.

Pemimpin parti itu juga mendakwa Vigneswaran telah berkata dalam ucapannya pada konvensyen negeri bahawa parti itu akan menentukan hala tujunya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16.

“Pada masa ini, presiden telah mengatakan MIC sedang melihat kerusi berpotensi untuk pilihan raya persekutuan akan datang dan parti itu akan mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan mereka yang bersedia untuk memenuhi permintaan MIC,” kata pemimpin itu.

Minggu lalu, Vigneswaran berkata MIC sedang melihat kerusi yang sesuai untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-16.

Beliau juga berkata parti itu dalam proses memperkukuh akar umbi dan memastikan ahli sedia ada adalah mereka yang benar-benar komited kepada parti.

Sebelum pilihan raya enam negeri, Vigneswaran berkata beliau bimbang parti itu akan diketepikan sepenuhnya pada pilihan raya umum akan datang, meninggalkan hanya satu kerusi persekutuan untuk dipertahankan.

Beliau berkata ini berdasarkan rundingan kerusi yang dijalankan Umno/BN dan PH bagi pilihan raya enam negeri.

Satu-satunya ahli Parlimen MIC ialah M. Saravanan dari Tapah, manakala parti itu memegang lima kerusi DUN, dengan tiga di Johor (Kahang, Tenggaroh dan Kemelah) dan masing-masing satu di negeri Melaka (Gadek) dan Pahang (Sabai).– 25 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen