MIC bimbang tidak dapat kerusi PRU16 di bawah formula BN-Pakatan


SA Vigneswaran berkata formula yang digunakan oleh Umno dan PH hanya membenarkan parti penyandangnya mengekalkan kerusi. – Gambar Facebook MIC, 23 Julai, 2023.

MIC, komponen Barisan Nasional bimbang ia akan diketepikan sepenuhnya bagi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, menyaksikan hanya satu kerusi persekutuan untuk dipertahankan, kata presidennya SA Vigneswaran hari ini.

Beliau berkata ini berdasarkan rundingan kerusi yang dijalankan Umno-BN dan Pakatan Harapan bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Jelasnya, formula yang digunakan oleh Umno dan PH adalah untuk membenarkan parti penyandangnya mengekalkan kerusi mereka.

Ini bermakna hanya terdapat beberapa kawasan pilihan raya yang tersedia untuk BN bertanding.

“Semasa rundingan (untuk kerusi yang dikuasai pembangkang), bagaimanapun pemberian kerusi kepada MCA dan MIC tidak pernah dibincangkan terutama di Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

“Selain itu, Umno tidak begitu bersemangat mengadakan perbincangan dengan MCA dan MIC.

“Walaupun mereka (Umno) kata akan beri kami kerusi, ia tidak dibincangkan dalam rundingan. Kerana itu, kami memutuskan untuk tidak bertanding pada PRN,” kata Vigneswaran kepada pemberita di ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur.

Beliau berkata ia antara sebab utama MIC dan MCA memutuskan untuk melupakan PRN, bermakna parti berasaskan India itu tidak dapat mempertahankan kerusi DUN tunggalnya di Negeri Sembilan. Umno kini akan bertanding di kerusi Jeram Padang itu.

Vigneswaran berkata, jika formula yang sama digunakan pada PRU16, MIC akan melihat peluang berkurangan buat mereka diberikan lebih banyak kerusi persekutuan untuk ditandingi.

“Jika kita bersetuju dengan formula yang sama (penyandang mempertahankan kerusi) semasa PRU16, MIC hanya boleh bertanding di Tapah.

“Rundingan sebegini tidak sesuai untuk MIC. Masa depan parti kita lebih penting daripada bertanding dalam PRN,” katanya.

MIC bertanding di 10 kerusi Parlimen ketika PRU15, yang mana ia hanya menang di Tapah.

Enam daripada kerusi lain yang ditandinginya dimenangi PH, manakala tiga lagi dimenangi oleh Perikatan Nasional. – 23 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen