MIC mesti menang semua kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika tidak mahu dilabel sebagai parti yang gagal membela masyarakat India, kata presidennya SA Vigneswaran.
Berucap pada Perhimpunan Agung MIC ke-76 di Kuala Lumpur hari ini, beliau juga berterima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi kerana membenarkan parti itu bertanding di semua kerusi tradisi mereka.
BN katanya telah memutuskan MIC akan bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tradisinya pada PRU15.
“Jika kita gagal menang kerusi-kerusi ini bermakna MIC gagal,“katanya.
Pada Majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan bulan lepas, Zahid berkata semua kerusi yang pernah ditandingi MIC pada PRU14 akan kekal milik parti itu pada PRU15.
Beliau berkata MIC juga boleh bertanding di kerusi lain, tetapi perlu berunding terlebih dahulu dengan Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan.
Vigenswaran selain itu mengingatkan semua pemimpin MIC khususnya di peringkat bahagian perlu bekerjasama dengan pUmno dan MCA yang juga parti komponen BN bagi memastikanparti itu menang besar.
“Kita sentiasa saling memerlukan dan bergantung harap dengan Umno dan juga MCA.
“Jika kita tidak kerja untuk mereka, bagaimanakah kemenangan besar dapat kita kecapi nanti? Saya amat serius dan tidak kompromi dengan mana-mana bahagian jika adanya aduan,” katanya. – 10 Oktober, 2022.
Komen