Tiada parti komponen mahu keluar BN, kata presiden MIC


Khoo Gek San

Pengerusi MIC SA Vigneswaran berkata beliau tidak hadir mesyuarat BN disebabkan tidak sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021.

PRESIDEN MIC, SA Vigneswaran hari ini menolak desas-desus bahawa mesyuarat Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) malam tadi dibatalkan kerana parti komponen gabungan mengancam untuk menarik diri daripada BN.

“Tidak, tidak ada (parti anggota) yang ingin menarik diri daripada BN. Anda boleh petik kata-kata saya. Tiada yang menarik diri daripada BN,” kata Vigneswaran kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata tidak tahu mengapa mesyuarat Majlis Tertinggi BN dibatalkan, tetapi beliau sebelum itu berkata tidak akan hadir.

“Saya sudah memaklumkan tidak akan menghadiri mesyuarat itu, tetapi ini bukan alasan (ketiadaan saya) untuk membatalkan mesyuarat Majlis Tertinggi. Saya perlu bertanya kepada Pengerusi BN (Ahmad Zahid Hamidi) apa alasannya.

“Pada perhimpunan agung tahunan ke-74 MIC yang diadakan beberapa hari lalu, saya sangat penat dan sudah memohon cuti sakit untuk tidak menghadiri mesyuarat, tetapi sebab sebenar pembatalan mesyuarat itu, anda harus bertanya kepada pengerusi BN. Saya benar-benar tidak tahu,” katanya.

Menurut sumber, MCA juga tidak mengesahkan kehadirannya ke mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada Isnin, malam sebelum pembatalannya.

Presiden MCA Wee Ka Siong tidak menghubungi untuk mengesahkan kehadirannya, perkara yang sama berlaku kepada Parti Rakyat Bersatu Sabah (PBRS), satu lagi parti komponen BN yang lain.

Antara parti anggota BN, hanya Umno yang secara sepihak mengumumkan tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional pada pilihan raya akan datang. – 6 April, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen