Presiden MIC cabar Puad tanya Zahid pasal surat sokong Anwar


Presiden MIC S A Vigneswaran berkata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi tidak sepatutnya melabel MIC dan MCA gopoh untuk mencari kerjasama politik.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2021. 

PRESIDEN MIC S A Vigneswaran mencabar Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi untuk tanya Ahmad Zahid Hamidi mengenai surat sokongan yang dihantarnya kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan untuk melantik Presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Vigneswaran berkata Puad tidak sepatutnya melabel MIC dan MCA gopoh untuk mencari kerjasama politik sebaliknya tanya presiden Umno Zahid adakah benar beliau menghantar surat sokongan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk Anwar dilantik sebagai perdana menteri.

“Tanyalah keputusan siapa? Adakah itu keputusan BN atau Umno? Kalau bukan dua-dua, habis keputusan siapa?” katanya kepada portal berita FMT.

Beliau mengulas kenyataan yang dibuat oleh Puad di Facebook yang memberi peringatan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dan MIC agar tidak terlalu gopoh untuk mencari kerjasama politik baharu.

MCA dan MIC setakat ini kekal menyokong Perikatan Nasional dan Perdana Menter Muhyiddin Yassin, namun parti kaum India itu pada perhimpunan agungnya baru-baru ini memutuskan untuk menyerahkan kepada majlis tertinggi BN mengenai keputusan untuk meninggalkan PN.

Vigneswaran berkata keputusan MIC untuk kekal bersama PN tidak dibuat terburu-buru, namun ia selari dengan keputusan Umno untuk kekal dengan kerajaan yang diterajui Muhyiddin sehingga Parlimen dibubarkan.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa parti itu menyokong PN untuk mendapatkan lebih banyak kerusi ada pilihan raya umum ke-15.

Tambahnya, memandangkan Umno telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu pada PRU15, Vigneswaran berkata Umno kini perlu memutuskan siapa calon perdana menteri BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menyifatkan kenyataan Puad berpotensi merosakkan kerjasama dengan BN dan menggesa Umno untuk mengambil tindakan disiplin terhadap bekas timbalan menteri itu.– 6 April, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen